Images
  • langsuir
    (Gambar: hannahdelisha/Instagram)

'Langsuir' akur pengarah minta berkemban

KUALA LUMPUR: Filem seram yang dibintangi Hannah Delisha dan Syafiq Kyle bakal ditayangkan tidak lama lagi. Namun, gadis kacukan kelahiran Singapura itu sudahpun mempersiapkan dirinya dikecam ekoran babak-babak berkemban dalam filem 'Langsuir'.

Dalam satu wawancara bersama mStar, Hannah atau nama penuhunya Hannah Adlina Blackburne Birch, sempat memberi penjelasan di sebalik babak-babak itu.

Pada awalnya, kata Hannah, beliau sempat meminta kebenaran pengarah filem supaya dapat mengenakan baju dalam babak mandi.

"Tetapi watak langsuir itu berasal daripada wanita yang hidup pada zaman lampau. Ketika itu golongan wanita biasa mandi berkemban," katanya.

Lantaran itu, Hannah akhirnya bersetuju untuk menjayakan babak itu dengan berkemban untuk menggunakan kain pelikat.

Beliau menambah, orang lazimnya tidak berpakaian ketika mandi, justeru babak mandi berkemban itu diharap tidak seharusnya menjadi isu.

Filem Langsuir yang turut dijayakan Juliana Farhana Marin, Firdaus Nadxaman, Shah Hakimi Amin, Halim Radzi dan Nazri John, mengisahkan sekumpulan lelaki mengembara ke Pulau Langsuir di mana Azlan (Syafiq Kyle) jatuh cinta dengan Suri (Hannah). Suri merupakan langsuir yang menjelmakan dirinya sebagai gadis jelita.

Hubungan Azlan dan Suri berdepan dengan pelbagai rintangan selepas rakan-rakan Azlan berniat jahat terhadap Suri, lapor mStar.

Filem Langsuir merupakan filem pertama gandingan Hannah dengan Syafiq. Mereka sebelum ini digandingkan dalam drama bersiri popular, Mencintaimu Mr Photographer.

Dalam pada itu, Hannah memberitahu mStar bahawa beliau gembira diberi peluang untuk menjayakan watak Suri dalam filem tersebut. Menerusi filem itu juga, beliau berpeluang untuk belajar bidang lakonan dengan lebih mendalam lagi bersama pelakon Ellie Suriati Omar.

“Dia seorang legenda. Bahasa tubuh dan pergerakan semua saya belajar daripada dia. Kami akan belek setiap skrip helai demi helai," kata Hannah.

Hannah juga mendengarkan lagu-lagu tradisional Jawa dan gamelan untuk menghayati dengan lebih baik lagi watak yang dibawa.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top