Images
  • hael fattah
    Hael Husaini dan Fattah Amin. (Gambar: Instagram)

Lagu Hael Husaini, Fattah Amin catat rekod penstriman di M'sia

PETALING JAYA: Lagu 'Jampi' nyanyian Hael Husaini diumumkan sebagai Lagu Domestik Paling Tinggi Penstriman sepanjang 2017 di semua aplikasi penstriman.

Dalam petikan laporan mStar, menerusi data yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada Isnin (8 Jan), lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong itu menduduki kedudukan tertinggi sepanjang tahun lalu dengan jumlah 13,879,144 kali didengar.

Lagu terbitan Rocketfuel Entertainment dan Warner Music Malaysia Group itu juga diumumkan sebagai Lagu Domestik Paling Bernilai yang dikira berdasarkan langganan berbayar dan sokongan iklan.

Lagu Ed Sheeran berjudul 'Shape of You' pula menjadi Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Penstriman dan Lagu Antarabangsa Paling Bernilai pada tahun lalu dengan jumlah 13,879,144.

Lagu 'Wanita Terakhir' nyanyian Fattah Amin yang diterbitkan Kasi Gegar Entertainment diumumkan sebagai Debut Lagu Domestik Terbaik, menurut mStar.

Ia dikira berdasarkan kedudukan tertinggi dicapai oleh lagu tersebut dalam carta domestik dan antarabangsa pada minggu pertama dilancarkan.

Lagu tersebut juga mengungguli kategori Kedudukan Terbaik Yang Dipegang Lagu Domestik.

Kategori Debut Lagu Antarabangsa Terbaik pula dimiliki Taylor Swift menerusi lagu 'Look What You Made Me Do'.

Lagu 'Segalanya' nyanyian Haqiem Rusli mengungguli Lagu Domestik Paling Lama Dalam Carta.

Lagu berkenaan, seperti dipetik mStar, merupakan lagu paling lama iaitu 52 minggu berada dalam carta domestik dan antarabangsa pada tahun lalu.

- Agensi berita/IM/im

Top