Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Suatu Masa M. Nasir kumpul S$200,000 untuk ETF

Dana Amanah Pendidikan Yayasan MENDAKI (ETF) mendapat suntikan $200,000, sempena Konsert Suatu Masa M. Nasir malam esok (6 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Dana Amanah Pendidikan Yayasan MENDAKI (ETF) mendapat suntikan $200,000, sempena Konsert Suatu Masa M. Nasir malam esok (6 Jul).

Demikian diumumkan di sidang media konsert tersebut hari ini.

Anjuran Mediacorp Suria dan VizPro International, konsert M. Nasir kali ini meraikan 40 tahun kerjaya artis legenda itu dalam industri muzik.

Sebahagian penjualan tiket juga disalurkan bagi menyokong dana ETF selain derma daripada syarikat korporat dan badan-badan Melayu/Islam di sini.

Lagu Mentera Semerah Padi bakal menggegarkan pentas di MES Theatre di Mediacorp.

Selama lebih sejam, para peminat dapat menikmati pelbagai lagu hits penyanyi dan penggubah lagu ini yang merentasi zaman.

Sambutan kepada konsert penyanyi asal Singapura ini begitu hebat hingga semua tiket habis dijual dalam masa dua minggu sahaja ia ditawarkan.

Selain menemui peminat beliau di sini, penampilannya yang pertama sejak konsert bersama Raja Rok Ramli Sarip, dua tahun lalu ini juga bagi menyokong Dana ETF.

Bahkan, beberapa penerima dana ETF juga berpeluang beramah mesra dengan seniman kelahiran Singapura ini, yang melahirkan harapan agar muziknya akan memberi inspirasi kepada bakat baru.

Demikian pula nasihatnya kepada anak-anak Melayu muda yang ingin menceburi bidang muzik.

"Pertama dia harus belajar mahirkan diri dulu. Mahirkan bidang yang dia ceburi kerana kemahiran itu akan mengalahkan yang lain sebab orang sangat menghargai kemahiran,"ujar M Nasir.

Konsert Suatu Masa M. Nasir akan turut menampilkan dua penerima Anugerah Harapan belia Goh Chok Tong , Syafiqah Adha dan Riduan Zalani.

Bagi yang terlepas peluang mendapatkan tiket untuk ke konsert M. Nasir esok, rakaman konsert itu akan disiarkan di televisyen pada 28 Disember, 8.30 malam di Suria.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/KN/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan