Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Konsert Rona Irama 2 beri nafas baru pada muzik pop etnik

Sebuah persembahan orkestra yang memberi nafas baru pada muzik pop etnik Melayu menerusi bunyi-bunyian daripada alat muzik tradisional, bakal berlangsung Sabtu depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah persembahan orkestra yang memberi nafas baru pada muzik pop etnik Melayu menerusi bunyi-bunyian daripada alat muzik tradisional, bakal berlangsung Sabtu depan.

Dipersembahkan oleh kumpulan Orkestra Sri Temasek dalam konsert 'Rona Irama 2', konsert itu diharap dapat menyemarakkan muzik Melayu dan pentas seni Singapura.

GHAZAL UNTUK RABIAH, BALQIS, YA MAULAI

Alunan lagu popular pop etnik yang digabungkan dengan alat-alat muzik tradisional seperti gambus, serunai dan rebab.

Berbeza dengan konsert-konsert yang dianjurkan dahulu yang hanya membawakan lagu tradisional asli, kumpulan Orkestra Sri Temasek kali ini ingin memperluaskan jalur muziknya kepada pop etnik.

Di bawah sentuhan pengarah artistik Megat Firdaus Muhammad Firdaus, konsert 'Rona Irama 2' ini akan membuai para penonton dengan 10 buah lagu popular dari era 90-an, termasuk Lagu Ghazal untuk Rabiah, Balqis dan Ya Maulai.

"Secara tidak langsung kami mengetengahkan lagu-lagu dari era 90-an kerana itu adalah kembangnya lagu-lagu pop etnik, artis-artis seperti M Nasir, Siti Nurhaliza dan juga Noraniza Idris," kata Encik Megat.

(Di sebalik tabir sesi berlatih untuk persembahan konsert yang akan berlangsung pada Sabtu depan)

'MUZIK TRADISIONAL MELAYU TIDAK PUPUS'

Selain mengimbas kembali nostalgia lagu-lagu pop etnik ini, pihak penganjur berharap konsert ini dapat menyemarakkan muzik tradisional Melayu.

"Mesej penting yang ingin disampaikan kepada para penonton dan para pendengar ialah muzik-muzik tradisional Melayu tidak pupus dan masih diterapkan dalam lagu-lagu pop etnik seperti gazal, zapin, joget, asli dan macam-macam lagi,"tekan Encik Syed Ridwan Ahmad, Pengarah Urusan Orkestra Sri Temasek.

(Cik Andrea Lim baru pertama kali menyertai persembahan bagi konsert kumpulan Melayu)

Lebih menariknya lagi, kumpulan yang menggabungkan 50 pemuzik ini turut menyertakan pemuzik dari latar belakang berbeza.

"Ia sangat berbeza dari muzik Barat yang saya selalu mainkan, dan saya tidak pernah bermain dalam orkestra sebelum ini, apatah lagi orkestra Melayu. Lebih daripada itu instrumen saya bukan alat muzik tradisional Melayu, jadi ini yang menjadikannya sangat menarik," kongsi Cik Andrea Lim kepada pihak BERITAMediacorp.

Konsert tersebut akan diadakan di teater Festive Arts di Hab Tampines pada 30 Disember.

Mereka yang berminat mendapatkan tiket, boleh melungsuri laman Facebook Orkestra Sri Temasek di https://www.facebook.com/orstemasek/. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan