Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Komposer Ajai buka kedai Asam Pedas Hirup! Sudah ‘cuci tangan’ dengan dunia muzik?

Tidak ramai komposer Malaysia yang memilih untuk menyanyi. Dalam banyak-banyak komposer yang sedia ada, Ajai antara mereka yang masih kekal menghasilkan karya-karyanya untuk penyanyi-penyanyi lama dan baru seperti Kris Dayanti, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip dan ramai lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Komposer Ajai buka kedai Asam Pedas Hirup! Sudah ‘cuci tangan’ dengan dunia muzik?

Ajai membuka restoran pertama asam pedasnya Asam Pedas Hirup di Penang. (Gambar: Asam Pedas Hirup Ajai)

Diterbitkan : 27 May 2018 11:14PM Dikemas Kini : 27 May 2018 11:28PM

BERITAMediacorp: Tidak ramai komposer Malaysia yang memilih untuk menyanyi. Dalam banyak-banyak komposer yang sedia ada, Ajai antara mereka yang masih kekal menghasilkan karya-karyanya untuk penyanyi-penyanyi lama dan baru seperti Kris Dayanti, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip dan ramai lagi.

Kehebatan Ajai menciptakan lagu-lagu hits tidak dapat dinafikan lagi seperti lagu nyanyian Dayang Nurfaizah berjudul Separuh Mati Ku Bercinta yang mendapat perhatian penggemar muzik pada tahun lepas.

Cuma sejak kebelakangan ini, tidak banyak yang diketahui tentang aktiviti Ajai sehingga timbul juga tandatanya apakah komposer bergelar penyanyi itu sudah tidak giat aktif menyanyi lagi secara solo mahupun bersama kumpulannya?

Syarikat rakaman Wake The Baby miliknya ditubuhkan pada tahun 2002. Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas yang dihubungi di Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan kepada BERITAMediacorp:

“Saya akan menyanyi ikut mood saya kalau lagu itu kena dengan saya atau artis yang nak duet dengan saya sesuai dengan saya. Saya baru keluarkan album Empire by Ajai iaitu kumpulan saya, ada perancangan untuk terbit album solo saya. Saya amat cintai muzik saya. Benda kedua adalah masak”.

RESTORAN ASAM PEDAS HIRUP – TEMPIAS KELUARGA

Benar kata Ajai tentang hobinya yang gemar memasak. Di kalangan penggiat industri hiburan, beliau memang dikenali dengan kehebatannya memasak lauk asam pedas untuk rakan-rakan artis yang bertandang ke rumahnya.

Hobi itulah yang yang dilihat dapat menjana pendapatan sampingan baginya sehingga Ajai membuka restoran pertama asam pedasnya Asam Pedas Hirup di Penang disusuli dengan pembukaan cawangan kedua di Kuala Lumpur pada tahun ini.

“Sebenarnya dah lama saya nak bukak kedai asam pedas ini sebab saya selalu masak untuk kawan-kawan jadi bila mereka dan saudara mara datang rumah saya masak. Mereka kata masakan saya baguslah, sedaplah. Jadi dari situ saya simpan hasratlah nak jadi tukang masaklah,” kata bekas anggota kumpulan Exists itu kepada kami.

Makanya, adalah tidak benar jika anda sangkakan komposer terkenal itu sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya sebagai seorang penyanyi. Namun begitu, hobi utamanya tetap mencipta lagu serta menerbitkan album untuk artis-artis yang memerlukan khidmatnya.

Ajai menambah bahawa keluarganya yang berasal dari Muar, Johor memang dikenali memasak untuk majlis perkahwinan sejak dulu lagi.

“Mereka champion, mungkin tempias kena pada saya. Saya rasa buat asam pedas macam buat lagu jugak, perlu ada feel dan sedap, jadi bila saya masak pun nak ada feel dan rasa sedap,” katanya kelmarin.

APA RAHSIA ASAM PEDAS AJAI? INI DIA…

Sekiranya anda berkunjung ke Restoran Asam Pedas Hirup di Taman OUG Parklane, Kuala Lumpur, besar kemungkinan anda akan dapat melihat kelibat Ajai sendiri yang memasak pelbagai jenis asam pedas antaranya ikan merah, ikan kembung, ikan pari dan ayam. Beliau akan berada di restoran tersebut selama tiga hingga empat kali seminggu sebagai chef untuk memberi sentuhan magisnya di dapur kepada lauk asam pedas hirup yang menjadi keistimewaan restoran tersebut.

Tambahnya penuh semangat: “Keistimewaan asam pedas saya dari Johor cuma diubah resipinya agar boleh dihirup. Jarang kita mendengar ia boleh dihirup, kalau tak percaya datang, kalau tak dihirup tak sah.”

Sebagai pemilik restoran tersebut, Ajai sendiri akan turun padang berbelanja untuk mendapatkan ikan-ikan segar untuk dimasak. Ini adalah penting untuk menjamin kualiti pelbagai asam pedas yang akan dimasaknya setiap hari.

Sekiranya beliau tidak dapat ke restoran untuk memasak pada hari tertentu, beliau mempunyai tukang masak lain yang diajar untuk memasak lauk asam pedas hirup versi Ajai, dengan sukatan yang ditetapkan oleh Ajai.

Apa pula rahsia asam pedas hirup Ajai yang dikatakan “power” itu cungkil kami? Mudah sahaja, kongsi beliau:

“Daun kesum dan air asam yang buatnya power. Bila saya masukkan daun kesum saya tumis sekali dengan lada kisar tu. Masa tumis tu saya masukkan sekali daun kesum dengan bahan-bahan yang dikisar.”

Meskipun Chef Ajai gemar memasak, beliau menegaskan aset pertama beliau adalah syarikat rakaman beliau serta kerja-kerja penerbitan lagu. Sambutan yang cukup baik untuk restoran kedua yang terletak di Kuala Lumpur itu diharapkan dapat disambung oleh generasi akan datang.

Beliau akui perlu banyak lagi tentang perniagaan asam pedas hirupnya agar dapat memberi kepuasan kepada peminat serta pelanggan-pelanggan.

AJAI MAHU ANJUR KONSERT ALA DAVID FOSTER

"Bukan bukak kedai asam pedas ni saya nak undur diri (ketawa),” kata selamba sambil bergurau. “Saya masih penggerak industri di Malaysia, masih menulis dan menerbit. Masih lagi mengumpulkan artis-artis baru untuk label saya. Muzik adalah keutamaan saya, memasak kedua. Kedua-dua huruf M. Selagi saya bernyawa selagi itulah saya akan berkarya.”

(Gambar-gambar: Ajai/Asam Pedas Hirup Ajai)

Sebagai usaha memperkukuhkan lagi perjalanan seninya, Ajai merancang untuk menganjurkan sebuah konsert Ajai & Friends nanti seperti yang dilakukan oleh David Foster sebelum ini.

Mungkin juga akan terjawab kelak nanti siapakah yang bakal menjadi rakan duet terbaru Ajai pada konsert tersebut memandangkan beliau sudah sekian lama tidak berduet dengan penyanyi wanita.

"Saya akan nyanyi bersama artis-artis yang pernah bekerjasama dengan saya. Tunggu," kongsinya mengakhiri temubual untuk masuk ke dapur menyiapkan lauk asam pedas hirupnya pada hari tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan