Images
  • Ayat-Ayat Cinta 2
    Poster filem Ayat-Ayat Cinta 2. (Gambar: Manoj Punjabi/Instagram)

“Kisah cinta teragung” Ayat-Ayat Cinta 2 bakal temui peminat S’pura Januari ini

BERITAMediacorp: Pasti ramai yang masih ingat dengan filem Ayat-Ayat Cinta. Filem yang dianggap mampu menandingi kehebatan filem Hollywood, Titanic!

Kini, setelah hampir 10 tahun, kesinambungan filem yang disifatkan sebagai “kisah cinta teragung” - Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2) - bakal menemui peminat Singapura pada bulan Januari 2018.


Kejayaan luar biasa filem Ayat-Ayat Cinta yang diterbitkan oleh syarikat gergasi Indonesia, MD Pictures, yang juga ditayangkan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei sudah semestinya membuat penerbitnya, Manoj Punjabi, bertekad untuk menerbitkan sekuel.

Ketika demam Ayat-Ayat Cinta melanda, ia ditonton lebih 3.5 juta penonton termasuk Presiden Indonesia ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono yang amat kagum dengan jalan ceritanya. Begitulah sentuhan magis Manoj, seorang penerbit filem yang disegani di Indonesia sehingga kini.


Penerbit Ayat-Ayat Cinta 2, Manoj Punjabi. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGAPA BEGITU LAMA UNTUK TERBITKAN AAC2?

Semasa ditemui di pejabatnya di Jakarta baru-baru ini, Manoj berkongsi dengan BERITAMediacorp mengapa ia mengambil masa begitu lama untuk menerbitkan Ayat-Ayat Cinta 2.

“Setelah Ayat-Ayat Cinta diterbitkan pada 2008, enam bulan kemudian saya ketemu penulisnya Habiburrahman untuk berbincang mengenai sekuel. Malah, sudah terfikir untuk menjalankan penggambaran di Jerman satu tahun kemudian tapi tidak terjadi kerana mungkin dia belum dapat inspirasi untuk menulis bukunya,” jelas beliau.

Hanya pada tahun 2015 Habiburrahman berjaya menyiapkan novel Ayat-Ayat Cinta 2 yang dinanti-nantikan itu. Dengan terhasilnya novel kedua tersebut, ia seperti satu isyarat kepada Manoj untuk memulakan projek beliau seterusnya.

“Saya sangat tertarik. Saya tahu Ayat-Ayat Cinta ini adalah francais yang besar. Ia adalah filem pertama Indonesia yang juga menjadi ‘box-office’ di Singapura,” ujar beliau.


Poster filem Ayat-Ayat Cinta 2. (Gambar: Manoj Punjabi/Instagram)

Manoj mahu mempercepatkan penerbitan sekuel filem itu memandangkan ia sebuah filem yang dinanti-nantikan ramai di rantau ini.

Ternyata, penantian beliau berbaloi setelah menunggu sekian lama sebelum novel Ayat-Ayat Cinta 2 disiapkan oleh penulisnya.

“Saya mahukannya lebih cepat (lagi). (Namun) semuanya yang berlaku ada sebabnya. Akhirnya buku (Ayat-Ayat Cinta 2) diterbitkan dan saya ambil buku itu dengan segera,” kata beliau.

PELABURAN TERBESAR BAGI FILEM TEMPATAN

Penggambaran Ayat-Ayat Cinta 2 yang dimulakan pada bulan Ogos 2017 mengambil masa selama 50 hari di beberapa negara termasuk London, Budapest, Gaza dan Jakarta.

BERITAMediacorp difahamkan, penerbitan filem itu adalah pelaburan terbesar yang pernah dilakukan oleh seseorang penerbit bagi sebuah filem Indonesia. Sebelum ini, MD Pictures juga pernah menerbitkan filem berjudul Syurga Yang Tak Dirindukan 2 dan Habibie & Ainun.

Antara barisan pelakon yang terlibat dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 adalah Fedi Nuril, Tatjana Saphira, Chelsea Islan, Dewi Sandra dan Pandji Pragiwaksono. Selain pelakon-pelakon hebat dari Indonesia, ia turut menampilkan pelakon terkenal dari Malaysia iaitu Nur Fazura dan Bront Palarae.


Fedi Nuril bersama Nur Fazura. (Gambar: Ayat-Ayat Cinta 2/Instagram)

Jadi mengapa beliau memilih Nur Fazura dan Bront Palarae?

“Cerita ini melibatkan pelbagai budaya. Saya mendapat idea jika saya meletakkan pelbagai budaya dan ada pelakon dari Malaysia, ia menarik di rantau ini dan ia menjadi lebih (cenderung) kepada perpaduan (kaum). Jadi ia sesuai dengan jalan ceritanya,” tambah Manoj.

FAZURA, BRONT PALARAE GABUNGAN TERBAIK DARI M’SIA

Manoj berpendapat bahawa Nur Fazura dan Bront Palarae adalah satu gabungan yang baik dari Malaysia untuk diterapkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2.

“Fazura dan Bront sangat bagus. Saya sangat terkesan dengan lakonan mereka. Fazura berlakon dengan semula jadi dan Bront juga pelakon yang hebat. Saya rasa mereka berdua hebat. Kalau menonton filemnya, kamu akan faham apa yang saya maksudkan,” ujar Manoj.


Dewi Sandra bersama Bront Palarae.  (Gambar: Ayat-Ayat Cinta 2/Instagram)

Dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2, Nur Fazura kekal menggunakan bahasa Malaysia dan tidak perlu menggunakan bahasa Indonesia. Ini memang disengajakan, menurut Manoj.

“Kerana watak Fari (Fedi Nuril) tinggal di kawasan yang berbilang kaum. Ada dari Malaysia, dari Scotland dan juga kaum Yahudi. Sememangnya idea filem itu agar Fazura digambarkan seperti orang Malaysia,” katanya.

Manoj memberitahu BERITAMediacorp beliau sudah mengenali Nur Fazura sebelum melamarnya untuk berlakon dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2. Fazura sepatutnya berlakon dalam filem terbitan MD Pictures sebelum ini, iaitu Syurga Yang Tak Dirindukan 2.

Namun, tidak ada jodoh untuk pelakon jelita itu berlakon dalam filem tersebut memandangkan jadualnya yang tidak mengizinkan ketika itu.

“Fazura begitu popular di Malaysia dan saya bertemu dengannya setahun setengah yang lalu. Dia sangat ghairah kerana dia bilang, dia benar-benar senang dengan Ayat-Ayat Cinta 1,” kongsi Manoj.


Pelakon, Nur Fazura. (Gambar: Ayat-Ayat Cinta 2/Instagram)

SAMPAI 4 DIVA SUMBANG LAGU KEPADA OST AAC2

Kejayaan sebuah filem pastinya bukan setakat terletak kepada pemilihan barisan pelakon dan sinematografinya, malah runut bunyi atau OST yang berkesan dan penuh emosi juga boleh menarik perhatian dan menambat naluri penonton.

Maka itu, tidak menghairankan jika MD Pictures memilih hanya penyanyi-penyanyi yang terbaik bagi OST filem Ayat-Ayat Cinta 2 dan buat pertama kalinya dalam sejarah perfileman Indonesia, filem itu diserikan dengan runut bunyi daripada bukan satu, bukan dua tetapi empat diva.

“Saya lihat Ayat-Ayat Cinta 2 besar penjenamaannya. Saya mahu sesuatu yang baru. Ini pertama kali dalam sejarah perfileman Indonesia, kita ada empat orang diva besar Kris Dayanti, Rossa, Raisa dan Isyana Sarasvati yang menyanyikan ‘soundtrack’ AAC2,” Manoj memberitahu BERITAMediacorp.


4 penyanyi hebat bagi OST filem Ayat-Ayat Cinta 2 bersama Manoj Punjabi. (Gambar: Ayat-Ayat Cinta 2/Instagram)

Antara lagu-lagu dari OST filem tersebut yang sudah berjaya memikat hati penggemar muzik adalah nyanyian Kris Dayanti yang berjudul, Ayat Ayat Cinta 2 sementara Rossa pula membawakan lagu berjudul Bulan Dikekang Malam.

Penggubah serta penyanyi Melly Goeslaw sekali lagi diamanahkan untuk menghasilkan OST bagi filem terbitan MD Pictures itu.


Kris Dayanti bersama Rossa yang menyanyikan OST Ayat-Ayat Cinta 2. (Gambar: Ayat-Ayat Cinta 2/Instagram)

Sebagai seorang penerbit, Manoj hanya ingin memberikan yang terbaik dan menyuntik kelainan dalam OST yang dipilih bagi setiap filem terbitannya.

“Lagu-lagu ini khusus untuk AAC2. Kriteria saya hanya mahu cari penyanyi yang terbaik daripada yang terbaik. Semuanya harus yang terbaik. Ia bakal menyumbang kepada AAC2. Tidak ada kompromi,” katanya.

Sebelum filem Ayat-Ayat Cinta 2 , Manoj juga pernah mendapatkan khidmat Melly Goeslaw untuk menghasilkan OST bagi Ayat-Ayat Cinta, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 dan Habibie & Ainun.


Pelakon, Chelsea Islan. (Gambar: Ayat-Ayat Cinta 2/Instagram)

MELLY GOESLAW ADA ‘SOUL’

Mengulas tentang pemilihan Melly Goeslaw sekali lagi untuk menghasilkan OST, sambil tertawa, Manoj berkata: ‘Melly sudah kontrak mati sama MD. Jadi ada MD, ada Melly. Melly tahu cara bikin ‘soundtrack’ filem. ‘Soulnya’ ada. Bagi saya, sangat penting dia melengkapi filem.”


Sekalipun begitu, komposer lain turut diberikan peluang menghasilkan lagu untuk filem tersebut. Raisa, contohnya, mencipta lagu nyanyianya sendiri berjudul Teduhnya Wanita.

Apabila ditanya sama ada beliau bersetuju jika filem-filem Indonesia dikatakan kurang mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini, Manoj berkata: “Tidak. Saya kira jika ada filem bagus, pasti mereka menonton. Cuma pengisian filem itu bagus atau tidak? Kalau anda (mahu) tonton lima filem setahun, (maka) ini adalah sebuah filem yang harus ditonton. Kalau anda (mahu) tonton sebuah filem Indonesia, ini adalah salah satu filem yang harus ditonton. Filem ini wajib ditonton.

“Saya percaya produk ini sangat bagus jadi kita akan ke Singapura. Untuk peminat yang mahu bertemu idola (mereka), kami akan berada di Singapura (pada) 7 Januari 2018 ini,” ujar Manoj, sambil mendedahkan bahawa tayangan perdana di Singapura nanti akan dihadiri para pelakon Ayat-Ayat Cinta 2.

- BERITAMediacorp/FH/nk

Top