Images
  • Kisah Tok Kadi Main
    Kisah Tok Kadi musim 2 sudah boleh ditonton melalui Toggle. (Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

Kesemua 13 episod terbaru 'Kisah Tok Kadi 2' kini boleh ditonton percuma di Toggle

BERITAMediacorp: Drama popular Kisah Tok Kadi musim kedua bakal menemui anda di kaca televisyen pada Rabu depan (3 Jan) di saluran Suria.

Namun, jika anda mahu, anda boleh menonton kesemua 13 episod siri terbaru itu sehari sahaja! Ala Netflix!

Ini kerana keseluruhan musim kedua Kisah Tok Kadi itu boleh ditonton pada bila-bila masa sekarang di laman Toggle secara percuma!

Siri pertama Kisah Tok Kadi, yang disiarkan pada tahun 2016, sudahpun dijulang dengan anugerah Program Paling Popular Pesta Perdana 2017.


EKSPERIMEN BARU SURIA

Menjawab pertanyaan BERITAMediacorp, Penolong Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Ezra Farabi berkata langkah mengeluarkan kesemua 13 episod secara online, sebelum ia disiarkan di televisyen, adalah sebahagian daripada satu eksperimen stesen Melayu itu.

"Suria sedang melakukan eksperimen ke atas para penonton yang lazimnya menonton beberapa episod sekaligus (binge watch) menerusi wadah online. Kami mahu menarik minat kumpulan ini untuk menonton rancangan yang kami sediakan tidak mengira apa pun wadahnya," kata Encik Ezra.

"Ini memandangkan perubahan kepada tabiat penonton kontemporari mendapatkan kandungan media," menurut beliau, sambil menambah "drama Kisah Tok Kadi 2 dijadikan eksperimen pertama".


TONTON PERCUMA, TAPI WAKTU TERHAD

Dengan setiap episod panjangnya sekitar 45 hingga 50 minit, anda mungkin mampu menghabiskan kira-kira 10 jam untuk menonton keseluruhan 13 episod.

Sekalipun begitu, semua 13 episod boleh ditonton percuma hanya sehingga siaran rasminya di Suria Rabu ini.


Setelah itu, hanya mereka yang melanggani akaun premium Toggle sahaja boleh terus menonton seluruh 13 episod secara percuma.

Bagi yang tidak mempunyai akaun premium dan tidak berkesempatan duduk mendanguk di depan televisyen setiap hari Rabu, anda masih boleh menunggu setiap episod dimuat naik ke laman Toggle selepas ia disiarkan di Suria. 


- BERITAMediacorp/nk

Top