Images
  • aaron india
    (Gambar: aarondwiaziz/ Instagram)

Kemunculan Aaron dalam filem Kollywood dapat sambutan hangat masyarakat India

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Aaron Aziz teruja apabila penampilan sulungnya dalam filem Tamil ‘Tik Tik Tik’ mendapat sambutan hangat masyarakat India, bukan sahaja di dalam negara, bahkan juga di luar negara.

Pertama kali muncul dalam filem Kollywood dengan melakonkan watak sampingan di sisi pelakon utama Jayam Ravi, beliau menyifatkan sambutan hangat masyarakat India terhadap lakonannya dalam filem itu “seperti menang pilihan raya”.

“Saya terima banyak mesej daripada peminat yang memuji lakonan saya walaupun hanya memegang watak sampingan dalam filem itu,” katanya.

Aaron, 42 tahun, berkata ini kali pertama beliau mendapat sokongan yang begitu hangat daripada peminat bukan Melayu sejak berkecimpung dalam dunia seni sejak 20 tahun lalu.

Beliau melakonkan watak jahat dalam filem sains fiksyen ‘Tik Tik Tik’, bermaksud bunyi jam, yang berkisar tentang penjelajahan kapal angkasa pertama India. Dialognya diungkapkan dalam bahasa Inggeris.

DILAYAN SEPERTI RAJA DI INDIA

Selain Ravi dan Aaron, filem arahan Shakti Soundar Rajan itu turut dibintangi Nivetha Pethuraj dan Ramesh Thilak. Filem itu ditayangkan di pawagam di seluruh dunia sejak 22 Jun lalu dan menerima sambutan menggalakkan.

Bagi hero filem Ombak Rindu dan KL Gangster ini, pengalamannya berlakon dalam filem Kollywood meninggalkan banyak kenangan indah.

Katanya walaupun hanya pelakon sampingan, beliau dilayan seperti raja sepanjang tiga minggu di Chennai, India, untuk sesi penggambaran pada tahun lepas.

"Jika di Malaysia, pembantu akan beri pakaian dan kita akan pakai sendiri tetapi di sana (India), pembantu sanggup tukarkan pakaian sehingga tolong pakaikan tali pinggang dan zip, tetapi saya kata saya boleh lakukan sendiri," katanya sambil tertawa.


Ditanya mengenai kesediaannya menerima tawaran itu walaupun sekadar melakonkan watak sampingan, pelakon kelahiran Singapura itu berkata beliau bukanlah mengejar glamor dan populariti, sebaliknya ingin mempelajari perkara baru dan merebut peluang untuk berlakon bersama barisan pelakon dan pengarah terkenal.

BAGAI MASUK DUNIA BARU

Aaron yang turut mengakui kehebatan industri perfileman India, berkata banyak perkara yang boleh dipelajari oleh industri hiburan tanah air daripada industri filem Kollywood.

Mengimbas kembali pengalamannya berlakon di India, beliau berkata: “Pada hari pertama penggambaran, saya dibawa ke sebuah gudang yang bukan macam tempat ‘production’ tetapi apabila masuk ke dalam, ia seolah-olah masuk dunia baru. Seramai 300 orang menjalankan tugas masing-masing sewaktu sesi pengambaran di tempat yang sama.


(Gambar: aarondwiaziz/ Instagram)

“Banyak perkara berlaku serentak tetapi diurus dengan baik. Saya juga diberi layanan yang sungguh baik. Saya kagum dengan industri di sana,” katanya.

Rata-rata netizen di media sosial khususnya di Instagram memuji lakonan Aaron dalam filem ‘Tik Tik Tik’ yang sedang ditayangkan di beberapa pawagam di seluruh dunia termasuk Malaysia, India, Australia dan Britain.

Aaron turut menyatakan kesediaannya untuk berlakon lagi dalam filem Kollywood jika ada tawaran dan menyarankan pelakon tempatan untuk menerima peluang berlakon di Kollywood sekiranya berkesempatan. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top