Images
  • KL Special Force
    KL Special Force. (Gambar: Facebook / Thehitman Nazri)

Kejayaan KL Special Force hasil kerjasama tenaga penerbitan, bukan hanya barisan pelakon

KUALA LUMPUR: Datuk Rosyam Nor menyifatkan pencapaian hebat KL Special Force adalah hasil kerja keras seluruh tenaga produksi yang mahu melihat kejayaan filem itu.

Kata beliau kepada BHarian Online, barisan pelakon bukan hanya penyebab kejayaan awal menerusi kutipan luar biasa dicatatkan filem tersebut.

Rosyam Nor, 51 tahun, seorang pelakon dan penerbit mapan di Malaysia berkata beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai pungutan hampir RM5 juta (S$1.68 juta) bagi filem tersebut selepas empat hari ditayangkan.

"Saya memang tidak menyangka pungutannya sebegitu tinggi dan saya dimaklumkan oleh penerbit, Datuk Yusof Haslam, inilah kutipan tertinggi sesebuah filem dalam tempoh yang singkat.

"Saya sangat berterima kasih kepada pengarahnya, Syafiq Yusof, kerana mengambil saya berlakon dalam filem ini. Tindakannya itu juga membuktikan, tanggapan kononnya saya tidak boleh lagi berlakon filem aksi pada usia begini adalah tak betul.

"Pencapaian sesebuah filem juga bukan terletak kepada pelakon, tetapi pengarahan dan orang yang bekerja keras di belakang tabir bagi menjayakannya. Pelakon cuma bekerja dan menyampaikan apa yang diarahkan kepada mereka. Pihak yang mencorakkan sesebuah filem itu ialah pasukan produksi," kata beliau kepada BHarian Online.

Menurut beliau lagi, beliau ingin ingin mengubah pandangan bahawa pelakon yang sudah mencecah separuh abad tidak mampu menyumbang untuk menghasilkan filem pecah panggung.

Sementara itu, Rosyam turut memuji persembahan Fattah Amin, 27 tahun, dalam filem berkenaan dan menyatakan pelakon popular itu memiliki bakat serta boleh berlakon dengan baik.

Beliau sendiri dapat melihat kerja keras pelakon terbabit untuk menjayakan wataknya dan berusaha membuktikan keupayaan diri yang sebelum ini sering diperlekeh.

"Dulu, Fattah sering dilabel sebagai pelakon 'kayu', tetapi sekarang dia sudah buktikan dirinya mampu berlakon dengan lebih baik. Sekarang, terpulang pada dirinya bagaimana mahu mengekalkan jenamanya itu. Sebagai pelakon senior, saya turut menumpang populariti mereka (pelakon baru)," kata beliau. 

- Agensi Berita/FA/fa

Komen Anda?

Top