Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Isu orang lebih 60kg tidak perlu hadir acara fesyen, Zaihani angkat bicara

Walaupun berpendapat kenyataan dikeluarkannya mengenai orang berbadan besar diperbesar-besarkan, pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain mengaku menjadi satu kesalahan untuknya menulis sesuatu yang mengelirukan dalam Facebook baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu orang lebih 60kg tidak perlu hadir acara fesyen, Zaihani angkat bicara

(Gambar: Zaihani Mohd Zain/ Facebook)

Diterbitkan : 20 Apr 2018 09:06AM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 09:53AM

KUALA LUMPUR: Walaupun berpendapat kenyataan dikeluarkannya mengenai orang berbadan besar diperbesar-besarkan, pengkritik fesyen Zaihani Mohd Zain mengaku menjadi satu kesalahan untuknya menulis sesuatu yang mengelirukan dalam Facebook baru-baru ini.

Zaihani, seorang konsultan dan penata gaya terkenal dalam kalangan selebriti, membuat kenyataan orang dengan berat badan melebihi 60 kilogram tidak wajar menghadiri acara fesyen kerana boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada tetamu yang duduk bersebelahannya, lapor Malaysiakini.

“Sekiranya status saya menyinggung perasaan mana-mana ahli keluarga, rakan-rakan dan pengikut, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. Jauh dari lubuk hati.

“Bukan niat saya untuk menghina sesiapa dan akui memang salah apabila menyebut mengenai berat badan itu. Status di Facebook saya tempoh hari adalah luahan hati mengenai situasi yang saya alami baru baru ini.

“Sepanjang kerjaya sebagai ketua penata gaya selama hampir tiga dekad, saya tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab jika saya bersikap suka jatuh hukum,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

DIKECAM SELEBRITI, ZAIHANI CERITA PERKARA SEBENAR

Petikan gambar laman Instagram @aishahjmm. 

“Kalau berat badan melebihi 60 kilogram, tak payahlah datang sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak.

“Ia sungguh menjanggalkan dan tidak menyelesakan buat orang yang duduk di sebelah kamu,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut situasi sebenar dialaminya, Zaihani berkata dia sebenarnya tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti orang bertubuh gempal.

Sebaliknya dia terpaksa berdepan dengan perbuatan seorang tetamu yang duduk dengan gaya dianggap kurang sopan digambarkan sebagai “manspreading.”

“Pada hari kejadian, saya duduk di sebelah seorang tetamu lelaki yang tidak menghormati ruang tempat duduk saya. Kakinya terkangkang sehingga terlebih ke kerusi saya dan buat tidak tahu meskipun saya menunjukkan kelakuan tidak selesa.

“Baru saya tahu situasi sebegitu adalah isu “manspreading” yang mana ia sebenarnya agak kurang ajar. Bagaimanapun, sewaktu menulis kenyataan itu di Facebook, saya belum lagi tahu terma terbabit,” katanya.

Menurut Zaihani, kenyataan itu dibuatnya kerana beranggapan tetamu lelaki terbabit tidak menghormati dirinya meskipun menyedari kaki mereka bersentuhan.

'PANGKAT NENEK' TAPI MASIH SUKA FESYEN

“Saya menulis angka 60 kilogram itu sebagai analogi kepada situasi itu. Mana tidak, tetamu lelaki berkenaan yang duduk di sebelah sepertinya tidak hormat saya sebagai wanita dan biarkan saja kakinya berlaga dengan kaki saya.

“Tidak mungkinlah saya maksudkannya terang-terangan memandangkan saya sendiri ramai kawan yang berbadan besar. Jauh sekali mahu menghina fizikal orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai komen segelintir pihak yang berpendapat wanita sepertinya yang dikategori sebagai pangkat nenek tidak sesuai menghadiri pertunjukan fesyen, Zaihani menjawab dia perlu menghormati setiap jemputan yang diterima.

“Apabila sudah mendapat jemputan, saya kenalah datang sebagai tanda sokongan kepada pereka fesyen berkenaan. Lagipun, di usia sebegini pun perasaan kecintaan saya terhadap fesyen masih mendalam,” katanya.

Zaihani turut berkata, dia kesal apabila luahan peribadi dibuat dalam akaun Facebook miliknya yang diletakkan dalam mod ‘private’ menjadi tular, lapor Malaysiakini.

“Sepatutnya luahan itu hanya untuk tatapan kawan-kawan saya saja. Sebaliknya ada individu tidak bertanggungjawab pergi menyebarkannya di Internet pula.

“Memang saya sangat kesal apalagi konteks asal kenyataan itu disalah erti,” katanya. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan