Images
  • lorde
    Lorde ketika membuat persembahan di Perancis Oktober lalu. (Gambar: Lorde/Facebook)

Isu Baitulmakdis: Bintang New Zealand, Lorde, batalkan konsertnya di Israel

BAITULMAKDIS: Penyanyi New Zealand, Lorde membatalkan persembahan yang dijadualkan di Israel selepas menghadapi tekanan daripada kumpulan pemboikot pendudukan Israel di kawasan-kawasan Palestin.

Minggu lalu, penyanyi terkemuka yang berusia 21 tahun itu mengumumkan tentang persembahan yang bakal diadakan di Tel Aviv pada Jun tahun depan sebagai sebahagian daripada konsertnya.

Namun, selepas mendapat kritikan daripada para aktivis antarabangsa dan New Zealand, Lorde membuat pengumuman hari ini (25 Dis) bahawa dia akan membatalkan persembahannya di Israel.

"Saya menerima jumlah pesanan dan surat yang banyak serta mengadakan perbincangan dengan ramai orang yang mempunyai pelbagai pendapat, dan saya rasa keputusan yang baik pada waktu ini adalah untuk membatalkan persembahan berkenaan," kata Lorde dalam satu kenyataan.

"Saya betul-betul minta maaf kerana tidak dapat membuat persembahan untuk anda. Saya harap satu hari nanti kita semua boleh menari bersama."

Naranjah, iaitu pihak penganjur konsertnya di Tel Aviv menerima permohonan maafnya itu. Dalam satu kenyataan kepada AFP, ia menyatakan: "Kami memaafkan Lorde dan semoga beliau berjaya dalam konsert jelajahnya di Russia dan AS (Amerika Syarikat)."

Gerakan di sebalik tekanan yang diajukan kepada Lorde dikenali sebagai Boycott, Divestment and Sanctions (BDS).

Julai lalu, aktivis BDS gagal untuk mendesak Radiohead supaya membatalkan konsertnya di Tel Aviv meskipun kugiran itu menerima tekanan hebat dari artis seperti Roger Waters dari Pink Floyd dan pengarah, Ken Loach.

Sebelum ini, penyanyi seperti Lauryn Hill dan Elvis Costello pernah membatalkan konsert masing-masing di Israel walaupun sudah dijadual. 

- AFP/SM/sm

Komen Anda?

Top