Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hafiz Suip akui perlahankan kerjaya seni sejak penyakit kegeliciran tulang

Sejak dua tahun lalu, nama penyanyi Hafiz Suip, 28, bagai tenggelam timbul dalam radar dunia hiburan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hafiz Suip akui perlahankan kerjaya seni sejak penyakit kegeliciran tulang

(Gambar: Instagram/Hafiz Suip)

Diterbitkan : 21 May 2018 12:24PM Dikemas Kini : 21 May 2018 12:31PM

KUALA LUMPUR: Sejak dua tahun lalu, nama penyanyi Hafiz Suip, 28, bagai tenggelam timbul dalam radar dunia hiburan.

Bukan soal tidak lagi popular atau relevan, sebaliknya penyanyi 'Masih Jelas' dan 'Bahagiamu Deritaku' itu berdepan ujian penyakit kegelinciran tulang sejak 2016.

Penyakit itu menyebabkan Hafiz mengambil keputusan memperlahankan kerjaya seni hingga banyak tawaran terpaksa ditolak, menurut Berita Harian Malaysia Online (BH Online).

Meskipun penyakitnya semakin pulih, Hafiz perlu bersaing dengan ramai bakat baru yang muncul umpama cendawan selepas hujan.

Beliau turut mengaku, "wang bukan segala-galanya" dan dunia glamor "tidak lagi dikejarnya".

"Hidup bagaikan putaran roda, ada masa kita di atas dan ada ketikanya pula di bawah. Inilah hakikat kehidupan seorang bintang.

"Saya begitupun mengakui, tidak pernah tergugat dengan kehadiran bintang baru. Cukuplah... Saya sudah merasai nikmat dan manisnya dulu. Jadi, berilah laluan kepada penyanyi lain pula," katanya kepada BH Online.

Tambah Hafiz, beliau percaya, setiap manusia diberi rezeki masing-masing.

"Alhamdulillah, biarpun perjalanan kerjaya saya menyusuri graf perlahan sejak beberapa tahun ini, rezeki tetap ada. Mungkin ia tidak lebat seperti yang diraih pada zaman kegemilangan dulu, namun saya belum lagi dipinggirkan," katanya.

SEMAKIN DALAMI ILMU AGAMA

Tanpa berselindung, Hafiz berkata, dia kini lebih mendekatkan diri dengan Allah dan mendalami ilmu agama.

"Mungkin ada yang anggap, sudah jatuh baru mahu mengingati Allah. Tekaan itu silap, sebaliknya saya berubah kerana Allah.

"Saya sedar diri, nama saja Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran agama suci itu sepenuhnya. Banyak perkara yang membuatkan saya leka dan lalai sejak bergelumang dalam dunia hiburan, tetapi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.

"Saya bersyukur bertemu dengan seorang hamba Allah yang tidak berputus asa mengajak saya menyertai majlis ilmunya. Namun, saya sering memberikan alasan tiada masa, ketika itu," katanya.

Hafiz berkata, seperti dipetik BH Online, "hamba Allah" itu cuba sekali lagi memujuknya dan bertanya beliau "apa salahnya saya meluangkan masa tiga hari untuk mengenal Tuhan".

"Kata-katanya membuatkan saya termenung panjang dan akhirnya, saya mengetepikan soal duniawi seketika untuk menyertai majlis ilmu di Kuching, Sarawak, Mac lalu," katanya.

HAFIZ: BUKAN MAHU RIAK, BERUBAH KERANA KINI KETUA KELUARGA

"Perubahan paling ketara selepas menyertai majlis ilmu ini adalah saya mula menjaga solat. Dulu, solat tunggang langgang, tetapi kini, saya istiqamah menjaga sembahyang.

"Saya bukannya mahu riak, tetapi perubahan ini saya lakukan secara perlahan-lahan. Antara sebab saya mahu berubah kerana saya sudah menjadi ketua keluarga. Saya mahu menunjukkan contoh yang baik kepada anak. Dulu, saya bukannya baik sangat, tetapi jika boleh, pengalaman hidup saya tidak berulang pada mereka.

"Apapun, saya kena berubah dulu sebagai ketua keluarga, barulah dapat mengemudi rumah tangga dengan baik," katanya.

Hafiz mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jesreel Abdullah, 25, pada 2016. Lebih mengubah corak kehidupannya adalah apabila pasangan itu menimang cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, yang kini berusia hampir lima bulan.

"Saya bukan lagi Hafiz yang dulu. Itulah juga yang sering diluahkan teman. Jika dulu, pantang diajak melepak, laju saja saya ikut.Kini, saya tiada lagi masa untuk berbuat begitu. Saya lebih mengutamakan keluarga, lebih-lebih lagi apabila dikurniakan cahaya mata.

"Jika tiada kerja, saya suka 'melekat' di rumah. Jujurnya, saya tidak boleh berenggang dengan anak. Ketika bekerja pun, hati bagaikan dipanggil-panggil untuk pulang cepat bermain dengan anak," katanya.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan