Images
  • munafik2
    Filem Munafik 2 meraih lebih RM42 juta keseluruhannya. (Gambar: Munafik2Movie/Instagram)

Filem Munafik 2 kutip S$1.4 juta di Singapura!

BERITAmediacorp: Filem Munafik 2 dipercayai filem Melayu paling laris dan berjaya di Singapura tahun ini, walaupun pawagam-pawagam di negara ini ‘diserang’ dengan banyak filem yang bagus-bagus pada tahun 2018 ini.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Skop Productions yang menjadi penerbit filem Munafik 2 menyatakan, filem itu mengutip RM4.33 atau S$1.4 juta di Singapura, setelah lima minggu ditayangkan di pawagam-pawagam di sini.

Hakikat bahawa filem Melayu boleh bertahan selama lima minggu di layar-layar perak tempatan sudah boleh dianggap satu kejayaan tersendiri.

Dengan sambutan luar biasa itu, ia menambah kepada kutipan box-office Munafik 2 secara keseluruhannya. Maka tidak hairanlah filem arahan Syamsul Yusof itu berjaya meraih kutipan sehingga RM47.2 juta (S$15.5 juta) selepas 42 hari ia ditayangkan, menurut Skop Productions kepada pihak kami. Sungguh mengagumkan!

(Gambar: Munafik2Movie/ Instagram)

Jika diambil kira bahawa kos pembuatan Munafik 2 adalah RM2.8 juta, ini bermakna keuntungan filem itu yang melebihi RM40 juta semestinya membuatkan Syamsul Yusof tersenyum lebar.

Lebih menarik lagi, pencapaian ini dicatat sedang Munafik 2 ‘bertarung’ dengan banyak lagi filem bermutu dari Malaysia seperti Paskal, Polis Evo 2, Hantu Kak Limah, Rise Ini Kalilah dan One Two Jaga. Maka tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa tahun 2018 ini adalah satu tahun ‘emas’ bagi dunia perfileman Malaysia.


(Gambar: Munafik2Movie/ Instagram)

KARYAWAN FILEM AKUR MUNAFIK 2 “BERJAYA”

Pengarah filem dan drama Singapura, M. Raihan Halim memberi pendapat: "Munafik 2 mempunyai nilai penerbitan yang sangat tinggi. Ia mempunyai 'stunts', bintang-bintang besar, set yang memukau dan ia sangat dinamik.

"Kita juga tidak boleh menafikan ia sebenarnya satu sekuel. Ia sudah ada jumlah pengikut filem yang besar. Itu juga mungkin sebabnya ia begitu berjaya."

Kenyataan ini bahkan turut disokong pihak Skop Productions sendiri, yang akur prekuel Munafik pada 2016 yang meraih kutipan RM19 juta (S$6.2 juta) itu memainkan peranan agak besar dalam kejayaan filem versi 2018 kali ini.


(Gambar: Munafik2Movie/ Instagram)

"Sudah ada penonton setia dan (juga) garapan yang lebih baik dan pengisian dakwah (agama) dan ‘horror’ yang lebih mencengkam," kata jurucakap Skop Productions, menerusi kiriman emel kepada BERITAmediacorp.

Raihan juga menambah, salah satu faktornya adalah orang ramai secara amnya gemarkan filem seram untuk menghiburkan diri mereka.


(Gambar: Ariff Ibrahim/Facebook)

"Saya tidak pasti sama ada sebarang elemen agama yang diselitkan benar-benar membantu menaikkan populariti filem berkenaan, tetapi ia sebuah filem seram yang bagus dan orang ramai nampaknya suka perkara itu."

FILEM MELAYU BENAR-BENAR BERDENYUT SEMULA DI PAWAGAM

Disebabkan daya tarikan tinggi serta perkongsian ulasan baik dari penonton ke penonton, penggemar filem di Singapura juga jelas tidak mahu ketinggalan menyaksikan klimaks filem-filem pecah panggung ini.

Adakah ini bermakna filem-filem Melayu benar-benar mendapat semula suntikan nyawa di pawagam tempatan?

Seorang lagi pengarah terkemuka dari Singapura Sanif Olek berpandangan begini: "Permintaan bagi filem bahasa Melayu sudah lama wujud, tanpa mengira saiz demografik di Singapura, apatah lagi untuk melihat diri anda diwakili di layar besar.


(Gambar: Sanif Olek/Instagram)

"Malah melihat kepada gambaran lebih luas, tidak kira apa bahasa sekali pun, jika jalan ceritanya bagus, apabila orang bukan Melayu dapat tahu, akan muncul minat dan mereka juga akan datang menonton."

Meskipun jumlah filem Melayu yang ditayangkan di pawagam-pawagam Singapura semakin meningkat, Sanif tetap mengetengahkan dilema yang sering menjadi isu dalam kalangan penggiat industri filem tempatan - dari segi keuntungan.

"Saya rasa persoalannya, apabila sesebuah filem itu diterbitkan di Singapura, akan timbul tanda tanya, siapa yang akan menonton filem tersebut?

"Jadi apabila anda mempunyai filem dari Malaysia atau Indonesia yang sudahpun mempunyai kandungan (yang baik), adalah lebih mudah bagi pengedar filem membelinya daripada menjalani seluruh proses penerbitan dan memikirkan kosnya," jelas Sanif, yang menerangkan aspek perniagaan filem.

MENINGKATNYA FILEM MELAYU MUNGKIN ADA KESAN POSITIF

Bagaimanapun, peningkatan dalam permintaan filem Melayu dewasa ini – khususnya dari Malaysia - mungkin dapat membawa kesan positif, terang Sanif.

Ini kerana pengedar filem tempatan mungkin dapat menyokong kos penerbitan filem tempatan, selepas melihat kepada kejayaan dan keuntungan filem Melayu dari seberang yang ditayangkan di sini, jelasnya.


(Gambar: Sanif Olek/ Instagram)

"Meskipun begitu, akan tetap timbul persoalan sama ada filem tempatan itu boleh dipasarkan di Malaysia dan Indonesia.

"Ia tetap tidak semudah hitam dan putih kerana di penghujungnya, pembikinan filem juga merupakan sebuah perniagaan," ujar Sanif, yang filemnya Sayang Disayang lakonan Rahim Razali, terpilih menjadi wakil rasmi Singapura bagi Anugerah Akademi (Oscars) pada 2015 (Filem Bahasa Asing Terbaik).

PENONTON FILEM SERAM KINI LEBIH BIJAK

Walaupun beliau akur genre seram sering menjadi daya tarikan orang ramai, Sanif juga menarik perhatian bahawa penonton masa kini juga sudah menjadi semakin 'bijak', terutama sekali penonton urban.

"Mereka mahukan filem seram yang lebih maju.

"Sebilangan filem seram masih menggunakan taktik 'shock edit' yang menakut-nakutkan penonton dengan kesan bunyi kuat, tetapi sejak kebelakangan ini ramai yang semakin menjauhi cara sebegitu, tetapi lebih kepada 'feel' dan perasaan seram yang bermain di minda berbanding perkara seram yang jelas dinampak," kongsinya, yang turut berkata filem Eropah masa kini sudah banyak memanfaatkan kaedah seumpama itu.

M. RAIHAN HALIM: BAGAIMANA MUNAFIK 2 TERHASIL? BUKAN SEMALAMAN!

Oleh itu, dengan kejayaan yang diraih filem Munafik 2, apa lagi yang boleh dipelajari para pengarah tempatan mengenai sesebuah penghasilan filem? Bagi Raihan, ia tentu sekali bukan dengan melihat kejayaan filem itu sebagai sesuatu yang boleh diraih semalaman.

"Jika anda menyasarkan untuk menghasilkan sesebuah 'Munafik', anda tidak akan berjaya, itu sudah pasti.


(Gambar: M.Raihan Halim/Facebook)

"Lihatlah filem tersebut sebagai suatu kisah yang berjaya, tetapi usah lupa bahawa ada perjalanan yang jauh (yang perlu dilalui seseorang pengarah itu) untuk sampai ke tahap filem tersebut."

Ini terutama sekali dengan munculnya filem seperti KL Gangster dan KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof sebelum ini, yang turut pecah panggung dan meraih kutipan tinggi.

"Hargai (kejayaan filem itu) lebih daripada sesuatu melebihi nilai permukaannya sahaja. Ada perjalanan yang jauh dan ia bukan berlandaskan satu filem sahaja - bagi seseorang pengarah itu menjadi seorang jejaka bernilai RM47.2 juta," kata Raihan. 

- BERITAmediacorp/im

Top