Images
  • fazura fattah amin
    Fazura dan Fattah Amin. (Gambar: Fazura/ Instagram)

Fazura, Fattah Amin bakal berduet; lagu tema Hero Seorang Cinderella

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Fazura mengumumkan beliau bakal berduet dengan Fattah Amin.

Lagu duet itu malah akan dihasilkan sebagai lagu tema drama Hero Seorang Cinderella, yang turut dilakonkan mereka.

Dalam petikan laporan mStar, Fazura, 34 tahun, berkata pihak pengurusannya baru mengesahkan perkara itu dan mereka akan merakamkan lagu tersebut tidak lama lagi.

"Ya, saya baru dapat pengesahan tentang lagu itu daripada pihak pengurusan pada hari ini. Saya dan Fattah akan menyanyikan lagu duet berjudul sama dengan drama tersebut iaitu Hero Seorang Cinderella.

"Sepatutnya malam ini kami kena masuk studio untuk rakaman tetapi masing-masing sibuk. Insya-Allah dalam masa terdekat," katanya, seperti ditukil mStar.

FAZURA LANCARKAN MUZIK VIDEO BARU

Fazura ditemui pada majlis pelancaran muzik video terbarunya, Nothing Like Pag-Ibig yang diadakan di Red Box, The Gardens, pada Rabu.

Dalam pada itu, tambahnya, lagu tersebut juga merupakan hasil karya penyanyi dan komposer Aizat Amdan, yang sebelum ini mencipta lagu Wanita Terakhir bagi pelakon Suri Hati Mr Pilot itu.

Menurut Fazura, lagu yang bakal dinyanyikan itu bergenre pop dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Lagu dan lirik oleh Aizat, ia merupakan lagu genre pop. Selain lagu itu, lagu baru saya berjudul Bisa Apa turut akan menjadi lagu tema dalam drama ini," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang pengalaman berlakon dengan pelakon tersebut, Fazura berkata, Fattah adalah seorang pelakon yang berbakat.

"Fattah berlakon dengan baik dan ada bakat cuma dia masih takut nak cungkil lagi. Mungkin juga kerana dia sedikit terkesan dengan pendapat orang selama ini.

"Saya minta dia luangkan banyak masa dengan saya ketika di set penggambaran supaya kami dapat keserasian sebagai pasangan kekasih. Bukan senang untuk dapat keserasian itu," katanya, dalam petikan laporan mStar.

Sementara itu, Fazura berkata, beliau dan Fattah bakal ke Belgium bagi menyambung penggambaran drama tersebut pada 11 Mei ini.

Drama Hero Seorang Cinderella sebanyak 24 episod itu akan mula ditayangkan pada 22 Mei di saluran Astro. 

- Agensi berita/im

Top