Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Farid Kamil positif ganja: Rakan artis dedah Farid 'tertekan', berdepan pelbagai masalah

Pelakon Sofi Jikan memohon orang ramai supaya jangan terus memberi tekanan kepada pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari atas penahanan beliau pada petang Khamis (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Farid Kamil positif ganja: Rakan artis dedah Farid 'tertekan', berdepan pelbagai masalah

Pelakon Sofi Jikan dan Farid Kamil. (Gambar-gambar: Instagram)

Diterbitkan : 12 Jan 2018 11:03AM Dikemas Kini : 12 Jan 2018 11:07AM

PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan memohon orang ramai supaya jangan terus memberi tekanan kepada pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari atas penahanan beliau pada petang Khamis (11 Jan).

Dalam petikan laporan mStar Online, Sofi, 48, berkata, pelakon tersebut sedang mengalami tekanan perasaan dan berhadapan dengan pelbagai masalah peribadi dan kerjaya sehingga bertindak luar kawalan.

"Dia seorang yang baik dan saya adalah antara orang yang rapat dengan beliau dan boleh dianggap sebagai abangnya. Dia berdepan dengan pelbagai masalah dan sedang berada dalam kemurungan.

"Saya sedih bila ramai yang mengecam dia dengan pelbagai tomahan sedangkan tidak tahu apa sebenarnya terjadi, kita tidak tahu apa yang terjadi. Lebih elok tunggu dia keluar dan bagi keterangan, " ujarnya kepada mStar Online.

FARID KAMIL POSITIF DADAH

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Mohd Zani Che Din turut mengesahkan pelakon itu positif dadah jenis ganja selepas menjalani saringan air kencing yang dijalankan selepas ditahan.

Awal dari itu, pada Khamis Farid Kamil ditahan selepas mengamuk dan menyerang seorang anggota polis, selain dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Encik Mohd Zani berkata, Farid hadir ke balai polis tersebut bersama seorang rakan untuk membuat aduan berhubung kes kemalangan jalan raya.

Beliau bagaimanapun, tiba-tiba naik berang dan menunjukkan mesej aplikasi Whatsapp berbunyi '300 artis hutang ah long'.

Farid kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, Sofi menambah, pelakon berkenaan juga pernah menyatakan hasrat memperjuangkan nasib artis yang berdepan dengan masalah hutang ah long.

"Farid mempunyai semangat untuk bela nasib artis dan dia sangat sensitif bila ada isu berkaitan dengan artis seperti berita '300 artis berhutang dengan ah long.

"Mungkin berlaku provokasi hingga dia bertindak demikian," ujarnya.

ISTERI FARID, DIANA DANIELLE ENGGAN ULAS LANJUT

Sehubungan itu, seperti dipetik mStar, isterinya iaitu pelakon Datin Diana Danielle pula mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di laman Instagram dan enggan mengulas lanjut.

Menerusi sebuah portal berita, Diana turut meminta pihak media memberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu.

Farid Kamil, juga pelakon filem 'Tombiruo: Penunggu Rimba' itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada pagi Jumaat bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan