Images
  • farid kamil
    Pelakon Malaysia, Datuk Farid Kamil Zahari. (Gambar: Instagram/ Farid Kamil)

Farid Kamil ditahan kerana tampar polis, diperiksa bagi pengaruh dadah

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil Zahari ditahan selepas dipercayai menampar seorang anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya petang tadi.

Menurut sumber kepada Utusan Online, dalam kejadian sekitar pukul 1.20 petang tadi, selebriti berusia 36 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut di kaunter aduan Balai Polis Kota Damansara.

“Ujian air kencing sedang dijalankan bagi menentukan sama ada dia di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada Utusan Online.

Sehubungan itu, dalam petikan laporan Astro Awani, pelakon tersebut turut dilaporkan menendang orang awam ketika berada di kaunter trafik balai polis itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi Astro Awani juga mengesahkan insiden tersebut.

Menurut Encik Mohd Zani, pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, kita menahan pelakon itu untuk membantu siasatan. Sekiranya siasatan tidak lengkap, kita akan reman beliau esok pagi," katanya kepada Astro Awani.

Suami kepada pelakon Diana Danielle itu datang ke balai polis tersebut petang tadi bagi membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.

Encik Mohd Zani turut berkata pelakon berkenaan secara tiba-tiba menampar muka anggota yang menerima aduannya. Dia juga menendang orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan pihak polis.

- Agensi berita/IM/im

Komen Anda?

Top