Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Farid Kamil akan mengaku bersalah jika representasi diterima

Mahkamah Majistret hari ini (27 Nov) diberitahu pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari akan mengaku bersalah sekiranya representasinya untuk mengurangkan lima pertuduhan jenayah yang dihadapi pelakon itu diterima Jabatan Peguam Negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Farid Kamil akan mengaku bersalah jika representasi diterima

Petikan skrin video Bernama.

Diterbitkan : 27 Nov 2018 08:43PM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 08:45PM

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini (27 Nov) diberitahu pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari akan mengaku bersalah sekiranya representasinya untuk mengurangkan lima pertuduhan jenayah yang dihadapi pelakon itu diterima Jabatan Peguam Negara.

Perkara itu dimaklumkan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil, 37 tahun, pada hari pertama perbicaraan lima kes tersebut di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Menurut Encik Megat Syazlee, representasi itu sudah dihantar pada 23 Nov lalu kepada Jabatan Peguam Negara dan kemudiannya memohon supaya perbicaraan kes ditangguhkan sehingga keputusan representasi itu dikeluarkan.

"Sekiranya representasi berjaya, anak guam saya ingin mengaku bersalah dan ini sekali gus dapat menjimatkan kos dan masa mahkamah. Pihak kami percaya, permohonan untuk penangguhan hari ini tidak akan melambatkan perbicaraan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran mengesahkan bahawa pihak pendakwaan sudah menerima representasi tersebut lewat petang Jumaat lalu (23 Nov).

"Pihak kami masih belum sempat meneliti keseluruhan dokumen tersebut namun bagi perbicaraan pada hari ini, empat saksi hadir untuk memberi keterangan, oleh itu saya serahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya perbicaraan ingin ditangguhkan," katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan dan menetapkan 6, 12, 13 dan 14 Dis depan.

Pada 16 Jan lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

PERTUDUHAN-PERTUDUHAN KE ATAS FARID KAMIL

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Encik Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Encik Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Jan, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan