Images
  • sinaran hati
    Tema Sinaran Hari kali ini ialah 'Membina Sinar Harapan' sempena ulang tahun ke-25 Tabung Amal Aidilfitri (TAA). (Gambar: Mediacorp Suria)

Faizal Tahir, barisan artis tempatan tampil dalam acara Sinaran Hati 2018

SINGAPURA: Penyanyi dan komposer unggul Malaysia, Faizal Tahir akan menyertai barisan artis tempatan dalam acara amal tahunan Sinaran Hati, pada 26 Januari ini.

Tema Sinaran Hari kali ini ialah 'Membina Sinar Harapan' sempena ulang tahun ke-25 Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang terus berkhidmat kepada golongan dan keluarga yang memerlukan dalam bentuk bantuan kewangan selama ini. Acara tahun lalu berjaya mengumpul sekitar $594,000.

"Selepas 25 tahun, kami bersyukur projek ini semakin mendapat sokongan masyarakat. Kami berharap dapat mengumpul para penonton Suria untuk melakukan sesuatu yang bermakna dan membantu mereka yang memerlukan," kata Cik Zakiah Halim, Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp.

Bagi ketua jawatankuasa eksekutif TAA, Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid, beliau juga berharap lebih ramai akan tampil untuk memberi sumbangan mereka.

"Acara ini sudah lama dijalankan dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik. Dengan sumbangan anda, kami boleh menghulurkan bantuan kepada mereka dalam lebih daripada satu cara, khususnya Projek Gerak Masyarakat," kata Encik Harmizan.

Persembahan amal itu akan disiarkan secara langsung di Suria dari Studio 1 Mediacorp, bermula 8.30 malam pada 26 Januari. Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin akan ikut menghadiri acara malam itu selaku tetamu terhormat.

Antara barisan artis yang turut serta ialah Taufik Batisah, Sufi Rashid, Sarah Aqilah, Hariani Hassan Bakri, Iskandar Ismail (Eiss), Eka Mairina, Hyrul Anuar dan AltoAura.

Acara dua jam itu akan diserikan lagi dengan hos Najib Ali dan Khairudin Samsudin.

Tiket berharga S$28 mula dijual esok (6 Jan) di First Lady di Tanjong Katong Complex dan Hoe Kee di IMM. Hasil penjualannya akan disalurkan ke Dana TAA.

Anda juga boleh menderma menerusi dua talian khas TAA, 1900-112-9050 bagi sumbangan S$50 atau 1900-112-9010 bagi sumbangan S$10. Kutipan derma akan dapat membantu 2,800 orang.  

- BERITAMediacorp/im

Top