Images
  • emma maembong syed saddiq
    Petikan skrin Emma Maembong/Instagram

Emma cuma kawan tapi mesra dengan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Baik sebelum pilihan raya umum mahupun selepas, nama Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus diperkatakan terutama dalam kalangan wanita.

Ibarat pisang goreng panas, kisah peribadinya mengundang perhatian ramai bermula dari gambar viral bersama kekasihnya, soal jodoh pilihan ibu hingga yang terbaru malam semalam (16 Mei) beliau ditemu bual hos rancangan hiburan MeleTop, Nabil Ahmad dan Neelofa.

Tidak kurang juga dalam kalangan selebriti tempatan secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap YB baru itu, lapor Malaysiakini.

Antaranya pelakon Emma Maembong yang memuat naik klip video pendek bersama beliau di akaun Instagram miliknya lima hari lalu.

Bagaimanapun, timbul spekulasi Emma sengaja ingin mengambil kesempatan daripada ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu terutama selepas kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Menurut Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 26, beliau sudah tiga tahun mengenali Syed Saddiq dan ia bermula sejak sebelum beliau bergiat aktif dalam politik.

“Saya dikecam kononnya mahu mengambil kesempatan ke atas Syed Saddiq selepas memenangi kerusi Ahli Parlimen. Anda semua boleh tengok akaun Instagram saya di mana saya sebenarnya sudah lama berkawan dengan beliau.

“Kami mula berkawan apabila saya mengutus mesej kepada Syed Saddiq meminta beliau membuat kejutan pada majlis hari jadi pembantu peribadi saya yang menyukai ketokohannya berdebat. Syed Saddiq dengan rendah hati bersetuju melakukannya. Dari situlah kami mula berkawan," katanya.

Memetik BH Online, Emma berkata, Syed Saddiq menyokong kerjaya seninya malah hadir di majlis pelancaran filem dibintanginya, Kimchi Untuk Awak.

“Sebelum ini, apabila saya memuat naik foto bersama dirinya, tiada siapa kisah. Sekarang, apabila beliau sudah jadi Ahli Yang Berhormat, baru orang perasan,” katanya.

KAMAL SAHABAT BAIK

PRU14 menyaksikan Syed Saddiq, calon BERSATU yang bertanding atas tiket PKR menewaskan penyandang Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan pencabar Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungannya dengan Kamal Adli, Emma kini menganggap pelakon itu adalah sahabat baiknya.

“Saya tidak lagi memikirkan soal kahwin, sekarang sudah tiada apa yang mahu diperkatakan mengenai kisah peribadi saya. Saya masih lagi berkawan dengan Kamal dan keluar bersama.

“Kalau sampai masanya ada yang masuk meminang dan ajak saya berkahwin, saya akan berkahwin. Tapi sekarang saya tidak lagi berharap dan hanya berserah,” katanya, lapor Malaysiakini.

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top