Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dukun tinggalkan pengalaman ngeri bagi Umie Aida

Penggambaran filem ‘Dukun’ di Penjara Pudu meninggalkan pengalaman mengerikan buat pelakon utamanya, Datin Seri Umie Aida apabila beliau hampir histeria ketika berada dalam sel tahanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dukun tinggalkan pengalaman ngeri bagi Umie Aida

Poster filem Dukun. (Gambar: Instagram)

Diterbitkan : 05 Apr 2018 12:00PM Dikemas Kini : 05 Apr 2018 12:31PM

KUALA LUMPUR: Penggambaran filem ‘Dukun’ di Penjara Pudu meninggalkan pengalaman mengerikan buat pelakon utamanya, Datin Seri Umie Aida apabila beliau hampir histeria ketika berada dalam sel tahanan.

"Ketika di bilik tahanan yang terakhir, saya cuma pandang dan persoalkan bagaimana keadaan banduan berada di bilik ini dan tiba-tiba badan saya terus menggigil dan mungkin akan histeria jika saya sendiri tidak kuatkan semangat dengan berzikir.

"Betullah orang cakap jangan leka walaupun sesaat. Jadi, saya akan memulakan dengan surah al-Fatihah setiap kali sebelum memulakan penggambaran," katanya semasa majlis pratonton filem di bawah arahan Dain Said semalam (4 Apr).

Umie Aida yang membawa watak Diana Dahlan, seorang dukun, mengakui banyak cabaran dilaluinya sepanjang penggambaran filem itu 12 tahun yang lalu, antaranya terpaksa berkawan dengan ular bagi menjiwai dan memperoleh ciri-ciri yang perlu dibawa melalui wataknya.

Filem Dukun yang akan ditayangkan di seluruh negara dan Singapura mulai esok (6 Apr) turut membariskan beberapa pelakon hebat antaranya Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Sofi Jikan dan Elyana.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu memaparkan kisah ketaksuban manusia yang begitu mendambakan kemewahan, kecantikan, kerakusan dalam mendapatkan kuasa menerusi amalan syirik dan khurafat.

HANYA REKAAN SEMATA-MATA

Pengarahnya, Dain Said mengharapkan tayangan filem itu dapat membuka mata masyarakat dan memberi kesedaran terhadap kecelaruan dalam hidup jika amalan khurafat dan syirik diamalkan.

Beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan Dukun adalah sebuah filem diadaptasi daripada kisah benar.

"Walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai kontroversi, saya sangat berpuas hati kerana filem ini dapat ditayangkan dan mengharapkan ia mendapat sambutan positif daripada penonton-penonton di luar sana," katanya.

Beliau berkata filem itu perlu ditonton di layar perak untuk mendapat kesan yang hebat daripada proses 're-master digital' bagi menghasilkan bunyi, warna dan visual yang terbaik.

Treler promosi Dukun mula disiarkan selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada 23 Mac lalu, dan filem ini pasti membangkitkan rasa teruja terutama bagi peminat filem tempatan dan penggemar genre thriller mistik.

Pernah diharamkan untuk tayangan umum pada 2007 kerana dikatakan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak, akhirnya LPF memberi kelulusan kepada karya itu untuk ditayangkan kepada umum selepas 11 tahun ‘disimpan’. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan