Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dato' Seri Vida mahu buka kedai emas di S’pura, akui pendiam dan “dont’ believe in love"

Anda sudah lihat aksi selamba dan ketawa lantang Dato’ Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Dato’ Seri Vida (DSV). Ada yang mengutuk pelbagai aksinya. Ada yang kehairanan bagaimana peniaga berjaya boleh berperawakan sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Dato' Seri Vida mahu buka kedai emas di S’pura, akui pendiam dan “dont’ believe in love"

Gambar Dato' Seri Vida. (Gambar-gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Apr 2018 10:48PM Dikemas Kini : 14 Apr 2018 10:15AM

BERITAMediacorp: Anda sudah lihat aksi selamba dan ketawa lantang Dato’ Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Dato’ Seri Vida (DSV). Ada yang mengutuk pelbagai aksinya. Ada yang kehairanan bagaimana peniaga berjaya boleh berperawakan sedemikian.

Tapi dalam wawancara eksklusif bersama BERITAMediacorp, ini antara yang dikongsi beliau: Beliau “don’t believe in love”. Beliau berkata beliau seorang pendiam. Beliau berkata aksi gedik yang dipaparkannya bukan untuk melariskan produk. Beliau mahu buka kedai emas di Singapura.

Ayuh, kita ikuti dengan lebih lanjut lagi wawancara Dato’ Seri Vida dengan kami ini di mana kami cuba mencungkil rahsia kejayaan, impian di masa hadapan dan juga perkara-perkara yang peribadi tentang dirinya.

BERADA DI SINGAPURA

Sebut pasal, produk Qu Puteh, siapa yang tak kenal pada pengasasnya? Pelbagai reaksi yang kita diterima mengenai dirinya, dan hanya ada dua pilihan; sama ada anda meminatinya atau meluat dan tidak selesa dengan penampilannya.

Beliau usahawan wanita berusia 46 tahun kelahiran Machang, Kelantan. Seorang peniaga yang terus ingin meluaskan lagi empayar perniagaannya, di dalam mahupun di luar negara.

Beliau berada Singapura baru-baru ini untuk merasmikan perkongsian perniagaan di sini bersama syarikat Desire Health & Beauty Empire Pte Ltd kepunyaan bersama Cik Nor Azrina Mohamed Sidek, serta untuk pelancaran buku tunggalnya berjudul “I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida. Buku berharga $35, ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad dan ditulis oleh Zinitulniza Abdul Kadir.

Gambar Dato' Seri Vida. (Gambar-gambar: Mediacorp)

SIAPA DATO’ SERI VIDA YANG SEBENARNYA?

Kita tahu persona televisyen beliau. Tapi siapa beliau sebenarnya dan bagaimana reaksi beliau apabila dikecam netizen?

Itulah persoalannya yang lazim ditanyakan orang ramai kepada dirinya. Sebagai seorang selebriti dan juga usahawan yang berjaya, pasti dirinya selalu menjadi perhatian ramai lebih-lebih lagi setelah single pertamanya ‘I Am Me’ menjadi begitu viral dan telah ditonton lebih 7 juta kali di media sosial di lebih 170 negara!

“Saya pernah melalui fasa bila gambar dan poster-poster saya dipijak dan dihenyak-henyak oleh haters. Ianya berlaku kira-kira empat tahun yang lalu. Saya berasakan mereka ini, adalah orang-orang yang tidak mengetahui saya atau diri saya yang sebenarnya.

“Saya hanya pohon pada Allah, dan minta diterbalikkan perasaan benci kepada suka dan sayang. Alhamdullilah, banyak yang telah berubah sejak dari situ. Saya akur tidak mudah untuk berjaya, kita mesti kuat dan positif, dan tak boleh give up sama sekali!” jelasnya.

SOAL AKSI GEDIK

DSV juga menjelaskan, beliau mungkin kelihatan gedik di pentas atau ketika bersama peminatnya, namun sebaliknya beliau juga seorang orang pendiam. Ketika di dalam kereta, beliau lebih suka suasana yang sepi, tanpa muzik dan lebih gemar berzikir untuk menenangkan dirinya.

Beliau juga akui gemar berfikir, dan senantiasa ingin menampilkan konsep dan idea baru untuk membina jenama yang lebih gah serta dapat memberikan impak yang boleh dicontohi oleh masyararat umum.

“Aksi gedik memang saya, bukan bertujuan untuk melariskan produk. Namun saya juga akui mempunyai satu lagi karakter di mana, saya lebih gemar menyendiri, berfikir dan bersamaNya, dari malam hinggalah ke awal pagi. Itulah waktu-waktunya untuk saya mendapat ilham dan menenangkan jiwa,” cerita mantan guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah Cina di Ipoh, Perak dan fasih berbahasa Mandarin ini.

RESEPI KEJAYAAN & PERNIAGAAN

Bagi DSV, ketika memulakan perniagaan, beliau juga pernah mengharungi banyak cabaran dan mengalami kerugian, sebelum bangkit dengan strategi perniagaan yang baru.

Beliau juga menegaskan, dalam perniagaan, kita perlu berpandukan niat yang betul, berniat membantu masyarakat serta berkongsi rezeki, dan bukan hanya untuk meraih kekayaan semata-mata.

“Bila kita membuka bisnes, kita juga membuka peluang kepada orang ramai untuk sama-sama mencari rezeki. Amalkan juga untuk menderma pada golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Selain itu, DSV juga berkongsi satu rahsia lagi; beliau tetap melakukan solat Dhuha, sekurang-kurangnya 6 rakaaat setiap hari, dan ini menjadi rutin hariannya tanpa jemu!

RANCANG BUKA KEDAI EMAS DI S’PURA, BRUNEI, INDONESIA

Dato’ Seri Vida selanjutnya berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa beliau bakal membina studio penggambaran sendiri, membuat single terbaru, bakal lancar biografi dirinya serta ingin membuka cawangan kedai kemasnya di rantau ini.

Itulah di antara impian DSV yang bakal terlaksana dalam waktu terdekat ini. Menurut Pembantu Peribadinya, Encik Ahmad Iqbal Zulkefli, studio berukuran 2 ekar itu sepatutnya siap tahun lalu. Namun kerana ada sedikit isu projek pengubahsuaian, ianya dijangka siap pada akhir tahun ini.

Ketika siap kelak, studio yang terletak di Shah Alam, Selangor itu bakal menerbitkan drama dan acara seni yang lain.

Encik Ahmad Iqbal turut menjelaskan, untuk single terbaru DSV, ianya masih dalam perancangan, dan pemilihan lagu masih belum dimuktamadkan lagi.

Walaupun baru melancarkan buku dan berkongsi kejayaannya di dalam perniagaan, DSV juga berura-ura untuk membukukan kisah biografinya dalam waktu dua tahun lagi.

Wanita bersemangat waja itu juga mempunyai 2 buah kedai emas, “Kedai Emas, Permata dan Berlian Dato’ Seri Vida” di Jerteh, Terengganu dan sebuah lagi cawangan di Ipoh, Perak. Walaupun baru beroperasi selama 2 tahun, namun beliau bercita-cita ingin membuka lebih banyak cawangan, dan berminat untuk melebarkan sayap kedai emasnya di Singapura, Brunei dan Indonesia, satu hari nanti.

CERAI 3 KALI – VIDA SERIK BERCINTA? 

Setelah melalui tiga penceraian, adalah beliau sudah serik ingin bercinta dan sekaligus untuk mendirikan rumahtangga lagi? 

Ini jawapan ringkasnya; “I don’t believe in love” (Saya tidak percaya pada cinta) namun begitu, beliau tidak menafikan perancangan Allah.

“Jika bertemu jodoh lagi, saya inginkan yang sekufu dan mempunyai nawaitu yang betul. Banyak yang ingin berkawan pada awalnya, tapi berubah niat setelah masuk dalam kehidupan saya. Sekufu bukan bermakna setaraf harta benda, tapi mesti juga setaraf cara kedua-duanya berfikir,” bicara DSV sambil tersenyum yang juga menggemari hidangan Laksa dan Mee Hoon Singapura ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/WA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan