Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Bekas pengacara 'Top Gear' Richard Hammond cedera dalam "kemalangan serius

Pengacara TV Britain Richard Hammond cedera akibat satu kemalangan 'serius' di Switzerland namun terselamat "tanpa sebarang kecederaan parah".

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengacara 'Top Gear' Richard Hammond cedera dalam "kemalangan serius

Richard Hammond. (Gambar: Richard Hammond/Facebook)

Diterbitkan : 11 Jun 2017 07:54PM Dikemas Kini : 11 Jun 2017 07:59PM

SWITZERLAND: Pengacara TV Britain Richard Hammond cedera akibat satu kemalangan 'serius' di Switzerland namun terselamat "tanpa sebarang kecederaan parah".

Demikian menurut seorang jurucakap rancangannya semalam (10 Jun).

Bekas pengacara rancangan 'Top Gear' - rancangan TV berbentuk fakta yang paling banyak ditonton - mengalami "keretakan pada tulang lututnya", semasa cuba melepaskan diri daripada sebuah kereta elektrik yang dinaikinya sebelum ia meletup dan terbakar.

Beliau diterbangkan ke sebuah hospital di St Gallen yang terletak di timur laut Switzerland.

"Richard berada dalam keadaan sedarkan diri dan boleh bercakap. Beliau sendiri memanjat keluar dari kereta itu sebelum kenderaan tersebut meletup dan terbakar," menurut seorang jurucakap bagi program 'The Grand Tour' Amazon.

Gambar-gambar yang dimuat naik online menunjukkan bangkai kereta yang rentung dalam keadaan terbalik dan dikelilingi api.

Sebuah rakaman video, yang diambil beberapa saat sebelum kemalangan itu menunjukkan kereta yang dipandu Encik Hammond mengelincir ke bahu jalan sedang ia membelok.

Pada ketika itu, Encik Hammond baru selesai memandu di Hemburg Hill Climb di Switzerland dengan menaiki Rimac Concept One, iaitu kereta elektrik yang dibuat di Croatia.

Beliau sedang menjalani penggambaran musim kedua bagi 'The Grand Tour' bagi laman Amazon Prime, menurut jurucakap itu.

Rakannya Jeremy Clarkson memuat naik catatan di laman Twitter yang berbunyi: "Ia adalah kemalangan paling dahsyat yang pernah saya lihat dan paling menakutkan. Namun menakjubkan dan mujur Richard kelihatan ok."

Encik Clarkson dan Encik Hammond pernah mengacarakan 'Top Gear', rancangan mengenai kereta yang begitu popular di saluran BBC. Encik Clarkson dipecat pada tahun 2015 kerana menumbuk seorang penerbit.

Encik Hammond pernah mengalami cedera parah pada bahagian kepala semasa menjalani penggambaran 'Top Gear' pada tahun 2006 apabila beliau merempuh kereta berkuasa jet yang dipandunya selaju 463 kilometer sejam.

Beliau koma selama dua minggu selepas itu.

Pada bulan Mac tahun ini, beliau meyakinkan para peminatnya bahawa keadaannya baik setelah "banyak kali" terjatuh dari sebuah motosikal semasa menjalani penggambaran 'The Grand Tour' di Mozambique.

'Top Gear' adalah rancangan televisyen berbentuk fakta yang paling banyak ditonton di merata dunia, menurut Rekod Dunia Guinness. Rancangan itu disiarkan di sekitar 200 wilayah di merata dunia.

Sumber : AFP/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan