Images
  • meghan markle
    (Gambar: Ian Vogler/ Reuters)

Bapa Meghan Markle cetus kontroversi, enggan sertai upacara perkahwinan

WINDSOR: Bapa Meghan Markle menarik perhatian orang ramai menjelang pernikahan anak perempuannya setelah beliau tidak dapat memberi kepastian bahawa beliau akan mengiringinya pada Sabtu nanti (19 Mei).

Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya selepas Thomas Markle memaklumkan portal TMZ.com bahawa beliau mungkin tidak dapat menyertai upacara bersejarah atas masalah kesihatan.

Namun, selepas beberapa jam, portal yang sama mengeluarkan laporan bahawa Thomas tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan hari bersejarah anak perempuannya itu.

Kekeliruan itu dikatakan memberi tamparan kepada Istana Kensington yang kini dalam persiapan terakhir majlis perkahwinan Putera Harry dan Meghan Markle.

Buat masa ini, tiada pengesahan dibuat oleh pihak istana.

"Jika bapanya tidak dapat bersama, ia tentu mengecewakan Markle. Dia amat berharap bapanya ada bersama," menurut satu sumber yang tidak dinamakan.

Ibu Markle, Doria Ragland, seorang wanita berbangsa Afrika-Amerika, dijangka akan menggantikan tempat Thomas.

Ini bukan kali pertama Thomas mencetuskan kontroversi.

Minggu lalu, beliau didakwa sengaja mengatur satu sesi fotografi dengan jurugambar tabloid untuk memulihkan imejnya sebagai bapa kepada bakal isteri kerabat diraja. 

- Reuters/AQ/aq

Top