Images
  • Awie
    Awie. (Gambar: Awie Official/Instagram)

Awie adakan siri 'rock kapak' 80-an tanpa Wings

MALAYSIA: Berita baik bagi para peminat muzik, khususnya 'rock kapak' era 1980-an!

Vokalis terkenal, Awie, baru-baru ini (13 Sep) mengumumkan akan mengadakan satu siri persembahan kecil atau 'showcase' bersama Dragon Malaya, bermula 26 Oktober ini di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Malaysiakini, hasrat penyanyi utama kumpulan Wings itu terdorong oleh keinginan untuk mengembalikan era kegemilangan muzik rock kapak yang membuak-buak dan keinginan untuk memberi penghargaan kepada lagu-lagu era 1980-an.

“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk adakan tribute lagu-lagu era 1980-an dengan Wings, tapi ketika berucap di atas pentas tadi, tiba-tiba timbul rasa teringin mengumumkan perkara ini.

“Sudah alang-alang akan adakan persembahan, mengapa tidak diteruskan saja, kita ambil peluang yang ada ini.

“Saya biasa buat persembahan di kelab-kelab sejak zaman 1985 lagi.

"Apabila melihat kelab seperti House berani mainkan lagu-lagu Melayu, ia membuatkan saya terfikir rancangan itu perlu dipercepatkan,” kata Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, seperti dipetik Malaysiakini.

Menurut Awie, beliau bercadang membuat persembahan di kelab-kelab merata Malaysia, yang setiap satu boleh memuatkan 300 hingga 500 penonton.

Beliau menambah, ini termasuk di Labuan, Sabah.

“Sekarang 'rock scene' kita kucar-kacir. Saya nak kembalikan muzik seperti Loudness, Scorpions atau Deep Purple yang melodinya indah dan menyentuh jiwa,” ulas Awie lebih lanjut, yang juga menzahirkan rasa bimbang terhadap kurangnya generasi pelapis yang berpontensi di Malaysia bagi genre tersebut.

Awie menubuhkan kugiran Dragon Malaya pada 2000 setelah meninggalkan Wings buat seketika.

“Bukan senang nak lihat gabungan seperti ini, biasanya orang tengok saya bersama Wings.

“Apabila wujud gabungan mantap, pasti akan keluarkan sesuatu yang solid, justeru saya harap peminat tidak lepaskan peluang untuk hadir dan menyaksikan persembahan kami nanti,” katanya seperti ditukil Malaysiakini.

Setiap persembahan dijadual berlangsung selama satu jam setengah.

Para penonton boleh menjangkakan untuk 'headbang' mengikut alunan lagu Wings serta 'cover' atau nyanyian semula lagu-lagu daripada Ozzy, Scorpions, Iron Maiden dan banyak lagi.

“Ia sesuai untuk peminat seperti kuntum dan kapak,” kata Awie secara berseloroh.

- Agensi berita/TQ/tq

Top