Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

APM 2017 perkenal penyiar rasmi baru, Jak tv; ketengah artis generasi baru

Para penonton di Indonesia tahun ini dapat menyaksikan Anugerah Planet Muzik (APM 2017) menerusi penyiar rasmi barunya, Jak tv.

Anggaran Waktu Membaca:
APM 2017 perkenal penyiar rasmi baru, Jak tv; ketengah artis generasi baru

Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Cik Zakiah Halim (kanan) menandatangani kontrak dengan penyiar rasmi baru APM 2017, Jak tv. (Gambar: Mediacorp Suria)

JAKARTA: Para penonton di Indonesia tahun ini dapat menyaksikan Anugerah Planet Muzik (APM 2017) menerusi penyiar rasmi barunya, Jak tv.

Para penonton di luar negara mahupun di Singapura juga dapat mengikuti strim secara langsung malam anugerah itu melalui Toggle LIVE, menurut kenyataan medianya.

Diadakan buat kali ke-16, APM 2017 memberi penghargaan dan menghimpunkan artis-artis cemerlang dan karyawan industri muzik di rantau ini.

Dianjurkan oleh Mediacorp Suria, Warna 94.2FM dan Ria 89.7FM, malam kemuncak itu bakal berlangsung di MES Theatre di Mediacorp pada Sabtu, 14 Oktober pada 9.00 malam.

Cik Zakiah Halim, Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, berkata: "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Jak tv bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada persembahan muzik terbaik di rantau ini.

"Apa yang menarik tahun ini adalah kami menyaksikan bangkitnya artis muda generasi baru yang kian menyerlah dengan jumlah pengikut yang ramai di platform digital dan media sosial.

"Kami berharap APM akan menjadi semakin relevan sedang muzik kami beredar mengikut arus masa," katanya.

(Dari kiri) Penolong Pengarah Perancangan, Ria 89.7FM, Penyiaran Melayu Mediacorp, Aura Shai; Pengarah Kreatif Kanan, Penyiaran Melayu Mediacorp, Mufreha Ma'arof; Pengarah Operasi, Jak tv, Rama Mugiharto; Ketua, Penyiaran Melayu Mediacorp, Zakiah Halim; CEO, Jak tv, David Sijabad; dan Hassan Salleh.

Encik Rama Mugiharto, Pengarah Operasi Jak tv, meluahkan rasa bangganya diberi penghargaan untuk bekerjasama dengan Mediacorp yang melantik stesen televisyen itu sebagai Penyiar Rasmi APM 2017.

Pengarah Gen FM, Encik Iwan Tanjung, turut mengalu-alukan acara muzik berprestij tersebut sebagai ukur tara mutu muzik Indonesia di negara-negara lain.

Ini juga memandangkan acara itu juga disokong oleh Gen FM sebagai stesen radio elit di Indonesia yang konsisten dengan perkembangan muzik Indonesia.

APM 2017 KETENGAH BAKAT MEDIA SOSIAL

Tampil segar tahun ini, APM 2017 akan mengetengahkan artis generasi baru yang sebahagian besarnya dicungkil bakat mereka menerusi platform media sosial.

Artis-artis yang bakal ditampilkan termasuk Afgan, Isyana Sarasvati, Virgoun, Gloria Jessica, Ayda Jebat, Aisyah Aziz, Haikal Ali, Aiman Tino, Hael Husaini, Ella dan Maher Zain.

Dihoskan oleh Desta, Dzar Ismail dan Nabila Huda, APM 2017 juga akan memberikan sejumlah 19 anugerah.

Para peminat dan penggemar muzik juga berpeluang untuk mengundi lagu dan artis kegemaran mereka dalam kategori Artis Paling Popular (Singapura), Lagu Paling Popular (Singapura) dan Ikon Media Sosial.

Undian boleh dibuat menerusi Toggle di toggle.sg/apm dari sekarang hingga 14 Oktober pada jam 10.00 malam.

(Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

KOLABORASI APM DENGAN GRAND PRIX M'SIA F1

Malah, tahun ini, APM juga bakal bergabung dengan Grand Prix Malaysia Petronas Formula 1 2017.

Prelud APM akan menjadi acara kemuncak bagi Konsert F1NALE yang bakal menampilkan enam penyanyi dari rantau ini termasuk Aisyah Aziz dan Harris Baba (Singapura), Ayda Jebat dan Hael Husaini (Malaysia) serta Rossa dan Anji (Indonesia).

Konsert tersebut juga akan diadakan pada hari Ahad, 1 Oktober ini di B Hillstand, Sepang bermula jam 6.00 petang sebagai penutup tirai perlumbaan F1 di Malaysia.

APM 2017 disokong oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) dan Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (COMPASS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan