Images
  • zaleha 2
    Penyanyi dangdut era 80-an, Zaleha Hamid. (Gambar-gambar: Zaleha Hamid)

Apa perkembangan Ratu Dangdut ‘original’ Zaleha Hamid sekarang? Ini ceritanya…

BERITAMediacorp: Suatu ketika dulu, penyanyi dangdut Zaleha Hamid pernah mendapat jolokan sebagai ratu dangdut Malaysia dan Singapura kerana beliau boleh dikatakan sebagai perintis awal kepada irama muzik dangdut pada era 1980-an. Apakah agaknya perkembangan terkini Zaleha Hamid, yang tahun ini berusia 62 tahun?

Beliau pernah merakamkan EP, yang disifatkan sebagai “ rekod kecik”, pada tahun 1964 bersama tiga penyanyi lain iaitu Sulaiman Idros, R. Ismail dan Jamal Awang. Setiap penyanyi menyumbangkan sebuah lagu sahaja ketika itu di mana beliau merakamkan lagu berjudul Rindu Kampung Halaman.

Populariti Zaleha Hamid tidak boleh disangkal lagi kerana banyak sekali lagu-lagu beliau menjadi hits seperti Dangdut Raggae, Kerana Pengalaman, Jangan Segan-Segan, Jangan Kau Tangiskan, Kekasih Di Tangan Orang, Teruna Idaman, Jagung Bakar. Lagu duet beliau bersama penyanyi Singapura, Aziz Ahmad berjudul Semurni Kasihmu Sesuci Kasihku tetap segar di dalam ingatan peminat-peminat mereka di sini sehingga ke hari ini.

Apakah Zaleha Hamid masih mempertahankan irama dangdut yang membuat namanya begitu sinonim dengan genre dangdut sejak tahun 1980-an lagi? BERITAMediacorp berjaya menjejaki penyanyi Zaleha Hamid yang mula menyanyi sejak usia empat tahun lagi di pentas bangsawan.


‘KAK LEHA’ MASIH MENYANYI SEBENARNYA

Di manakah Zaleha Hamid sekarang dan bagaimana keadaan beliau sekarang? Itulah soalan yang sering berlegar-legar di kalangan peminat-peminat beliau di sini mahupun di seberang tambak.

“Alhamdulillah, kak Leha masih menyanyi dari lagu-lagu album Kakak saja sebab orang nak dengar lagu-lagu dari album sendiri, nanti kalau nyanyi lagu dari orang lain, orang mengadu pulak (ketawa),” terang beliau yang membahasakan dirinya sebagai Kak Leha sahaja kepada kami.

Ibu kepada dua orang anak lelaki itu menjelaskan beliau kekadang menetap di Kuala Lumpur atau di Johor Bahru, bergantung kepada undangan nyanyian yang beliau terima.

Rupa-rupanya, tidak ramai yang sedar pernah menjadi isu suatu ketika dahulu apabila peminat-peminatnya di Singapura melabelkannya sebagai kacang lupakan kulit. Ini gara-gara Kak Leha berhijrah kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 1990-an setelah sekian lama menetap di Singapura. 

“Dilahirkan di Malaysia tetapi dibesarkan di Singapura dari kecik. Jadi orang Singapura dah anggap Kak Leha ni orang Singapura. Jadi bila Kak Leha umum Kak Leha berasal dari Malaysia, ada jugak peminat saya tak boleh terima yang katakan saya ni lupa diri, kacang lupakan kulit kerana tak ingat nama saya naik dari Singapura,” dedahnya tanpa segan-silu.


“DEMI ALLAH” KAK LEHA TAK MARAH…

Beliau tidak menafikan mengecapi populariti sewaktu menetap di Singapura untuk sekian waktu dengan sokongan padu peminat-peminat Singapura ketika masih menetap di Singapura dulu. 

“Saya tak lupa jasa peminat-peminat Singapura dari tahun 1960-an sehingga 1990-an.Tapi bila saya baca akhbar, mereka kutuk-kutuk saya. Mereka tidak tau cerita yang betul. Saya tak rasa marah, tak rasa benci. Demi Allah tidak. Saya terima dengan ikhlas sebab mereka tidak tahu cerita sebenarnya”.

Isteri kepada Ungku Sulaiman ini turut ditanya pandangan beliau mengenai status lagu-lagu dangdut yang dikatakan semakin kurang mendapat sambutan dan perhatian di Singapura dan di Malaysia juga.

Apakah benar lagu-lagu genre sedemikian seakan menjadi “pupus” kini dengan ketiadaan bakat-bakat baru yang membawakan lagu-lagu dangdut? Hanya segelintir sahaja penyanyi-penyanyi dangdut Malaysia yang masih aktif menyanyi kini seperti Amelina, Mas Idayu, Shida Dangdut dan Ani Mayuni.

“ Tidak. Cuma mungkin mereka yang tak minat dengan dangdut akan katakan begitu padahal sambutan terhadap artis-artis dangdut alhamdulillah. Rezeki itu ada sahaja Allah bagi. Kak Leha tengok undangan untuk penyanyi dangdut masih banyak. Yang lama macam Kak Leha ni pun, alhamdulillah. Sering dijemput sana-sini sampai terpaksa kejar sana-sini di Malaysia dan Singapura,” katanya panjang lebar kepada BERITAMediacorp.

DANGDUT PELAPIS KURANG PELUANG RAKAM LAGU

Kak Leha sempat juga melahirkan pandangan ikhlas beliau bahawa meskipun irama dangdut masih diminati ramai kini, namun pelapis baru tidak mendapat peluang yang sewajarnya untuk merakamkan lagu-lagu baru meskipun setakat sebuah single.


Beliau mengambil contoh pertandingan terbitan televisyen Astro yang diberi nama Dangdut Star yang berjaya mencungkil bakat-bakat baru untuk genre dangdut. Jelas Zaleha Hamid yang baru selesai menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

“Tidak ada penerbit/komposer nak buat lagu untuk mereka. Saya pernah jumpa semua pemenang tapi Kak Leha pelik kenapa belum ada komposer yang nak buat lagu untuk mereka? Sepatutnya, komposer perlu bagi peluang bagi penyanyi-penyanyi baru ini buat single, bukan sebuah album tapi pastikan bagi lagu dangdut yang asli, bukan disko dangdut.

“Tapi masalahnya, penyanyi-penyanyi Ini bila kita suruh nyanyi lagu dangdut asli, mereka tidak mahu dan takut. Mereka tetap nak lagu disko dangdut. Lagu disko dangdut, budak kecik pun boleh menyanyi,” ujar Kak Leha dengan begitu terus terang.

CENGKOK DAN LENGGOK DANGDUT YANG SUSAH

Beliau lebih selesa membawakan lagu-lagu dangdut yang berat susunannya. Cuma lagu-lagu dangdut sedemikian banyak cengkok dan lenggoknya sehinggakan membuat sesetengah penyanyi baru agak keberatan untuk membawakannya.

Terang Kak Leha: “Mereka kata susah. Kenapa kak Leha boleh? Kak Leha berusaha. Kak Leha banyak terhutang budi kepada komposer S. Atan dan penulis lirik Allahyarham Haron Abdul Majid.”


Difahamkan, Zaleha Hamid dilahirkan dalam suasana yang tidak boleh lari dari seni sejak kecil lagi kerana ibunya adalah seorang pemain bangsawan. Ayahnya pula adalah pemain biola yang cukup terkenal suatu ketika dahulu.

Pesan Ratu dangdut itu kepada para pendatang baru yang digelar penyanyi dangdut supaya jangan patah semangat mahupun berputus-asa apabila berdepan dengan kekecewaan kerana lagu-lagu mereka kurang mendapat sambutan. 

“Dalam apa jua genre muzik samada rok, dangdut, K–Pop apabila kita ceburi akan berpusing sama macam dunia kita naik turun. Bila kita turun, kita jangan bertukar pulak pada irama lain. Itu masalahnya. Walaupun tidak keluar TV atau konsert besar, yang kecik jugak alhamdulillah. Ada jugak orang panggil. Ini semua kerja Allah. Kita berdoa minta pada Allah bukakan pintu rezeki kita. Insya Allah, Allah akan bagi,” nasihat dan dorong Zaleha Hamid lagi dengan penuh berfalsafah.

Sekiranya tiada undangan nyanyian di Malaysia atau Singapura, penyanyi yang dikenali dengan sifat mudah mesra itu hanya memberi tumpuan kepada urusannya sebagai seorang ibu rumahtangga menguruskan suami serta anak-anak di rumah. 

- BERITAMediacorp/FH/fa

Komen Anda?

Top