Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anita Sarawak terus 'hilang', tidak jawab panggilan dan WhatsApp adiknya, Noorkumalasari

Perkembangan terkini penyanyi popular Anita Sarawak yang sepi tanpa khabar membuatkan adiknya, Noorkumalasari, bimbang.

Anggaran Waktu Membaca:
Anita Sarawak terus 'hilang', tidak jawab panggilan dan WhatsApp adiknya, Noorkumalasari

Anita Sarawak. (Gambar: Anita Sarawak/Facebook)

Diterbitkan : 06 Apr 2017 04:40PM Dikemas Kini : 06 Apr 2017 04:44PM

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini penyanyi popular Anita Sarawak yang sepi tanpa khabar membuatkan adiknya, Noorkumalasari, bimbang.

Noorkumalasari, pelakon dan penyanyi era 70-an dan 80-an mengakui khuatir kakanya terus menerus menyepi sejak terputus hubungan kebelakangan ini.

Noor, 61 tahun semasa ditemui Harian Metro berkata, beliau ada mengirimkan ucapan hari lahir kepada Anita menerusi Whatsapp pada bulan Mac lalu, namun ia tidak berbalas.

"Saya tak pasti sama ada dia sudah bertukar nombor telefon kerana panggilan daripada adik-beradik yang lain juga tidak berjawab.

"Sebelum ini, sesekali dia ada menghubungi kakak saya yang lain memaklumkan perkembangan terbarunya. Ia sedikit-sebanyak melegakan saya," katanya kepada Harian Metro.

Pada tahun 2013, Anita membuat keputusan untuk meninggalkan dunia seni di rantau ini dan kembali ke Las Vegas, Amerika Syarikat bersama suaminya, Mohamad Mahathir Abdullah bagi memulakan kehidupan yang lebih tertutup.

Pada tahun 2015 pula, Harian Metro melaporkan bahawa penyanyi itu sudah bersara daripada bidang nyanyian dan menumpukan perhatian kepada perniagaan hartanah di Amerika Syarikat.

Malah, menurut Harian Metro lagi, Anita difahamkan sudah bertudung.

Menurut Noor, beliau pernah mendapatkan pengesahan tentang perkara itu daripada Anita, tetapi kakaknya itu menafikan dirinya sudah bertudung.

Apa pun yang berlaku, Noor, sebagai seorang adik tetap mendoakan yang terbaik buat Anita dan berharap kesihatannya terpelihara.

"Saya berharap semoga dia sihat di samping suaminya. Paling penting walaupun di negara orang, dia tetap berpegang pada landasan agama Islam.

"Kita kena sentiasa ingat Allah kerana Dia yang beri hidayah untuk kita. Saya sentiasa mendoakan supaya kakak berubah," katanya yang baru selesai membintangi telefilem Pintu No 9 yang mengangkat kisah bapanya yang juga pelakon legenda, Allahyarham Datuk S Roomai Noor.

Harian Metro difahamkan, kawan baik Anita pernah mencarinya di Las Vegas tetapi gagal mengesan Anita.

Anita adalah anak hasil perkahwinan Roomai Noor dengan Allahyarham Siput Sarawak.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan