Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anak Bob Lokman sempat bertanya persiapan niaga ayah sebelum hembuskan nafas terakhir

Anak sulung pelakon dan penulis lirik terkenal Bob Lokman, iaitu Mohamad Adam meninggal dunia pada pukul 1.00 pagi tadi (5 Okt) selepas rebah di rumahnya di Sungai Buloh.

Anggaran Waktu Membaca:
Anak Bob Lokman sempat bertanya persiapan niaga ayah sebelum hembuskan nafas terakhir

Anak sulung pelakon dan penulis lirik terkenal Bob Lokman, Mohamad Adam. (Gambar: Bob Lokman/Facebook)

Diterbitkan : 05 Oct 2018 03:34PM Dikemas Kini : 05 Oct 2018 03:38PM

KUALA LUMPUR: Anak sulung pelakon dan penulis lirik terkenal Bob Lokman, iaitu Mohamad Adam meninggal dunia pada pukul 1.00 pagi tadi (5 Okt) selepas rebah di rumahnya di Sungai Buloh.

Malaysiakini difahamkan Allahyarham Mohamad Adam, 25 tahun, sempat bertanya tentang persiapan berniaga bagi keesokan hari sebelum rebah dan menghembuskan nafas terakhir.

Menceritakan apa yang berlaku pada malam tadi (4 Okt), Bob berkata anaknya itu sempat bertanya mengenai berapa ekor ayam yang perlu disediakan bagi perniagaan mereka hari ini (5 Okt) pada sekitar pukul 11.00 malam.

Malaysiakini menukil Bob sebagai berkata: "Itu kali terakhir saya bercakap dengan Adam sebelum dia pengsan dan nazak kira-kira jam 1.00 pagi."

Bob dikenali sebagai salah seorang penulis lirik yang berpengaruh kerana menghasilkan pelbagai lagu popular seperti Pada Syurga Di Wajahmu (Nash) dan Isabella (Amy Search).

Pada September lalu, beliau memulakan perniagaan menjual nasi ayam kampung di pekarangan Masjid Al-I’tisam di Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor.

Bob berkata, anaknya memang pernah mengalami ketumbuhan dalam otak semasa berusia 8 tahun, namun ia dapat dibuang melalui pembedahan.

“Walaupun Adam menjalani rawatan kemoterapi, doktor maklumkan ketumbuhan ini boleh datang lagi. Disebabkan itu, Adam selalu pengsan," katanya seperti dipetik oleh Malaysiakini.

Menurut beliau, sebelum ini Allahyarham Mohamad Adam pernah pengsan tiba-tiba dan tidak ingat bagaimana ia berlaku apabila sedar semula.

“Dia seorang anak yang baik. Dia tulang belakang keluarga dengan membantu menguruskan perniagaan. Dia juga yang banyak bantu dan jaga saya ketika masuk hospital,” tambahnya.

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan