Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'AKSI!' uji kebolehan pelajar S'pura, Brunei dalam penerbitan filem

Tidak boleh dinafikan, tugas menghasilkan sebuah filem memang berat walaupun sesingkat lima minit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak boleh dinafikan, tugas menghasilkan sebuah filem memang berat walaupun sesingkat lima minit.

Namun, cabaran itu disahut baik oleh sembilan pelajar dari Singapura dan Brunei Darussalam.

Segala penat lelah dan juga proses di sebalik menghasilkan filem akan dipaparkan dalam program realiti terbaru 'AKSI!' terbitan saluran televisyen Suria dari Singapura dan Radio Televisyen Brunei (RTB).

Program sejam hasil terbitan Suria dan Radio Televisyen Brunei itu menguji daya kreatif dan kebingkasan peserta dalam menghasilkan sebuah filem pendek yang bermutu dan menghiburkan.

"Salah satu cabaran yang kami lalui adalah masa kerana kami mempunyai 12 jam untuk menghasilkan filem lima minit. Cuaca juga tidak menentu," kongsi seorang peserta tempatan, Nurhiqmah Rahmat.

Bagi peserta dari Brunei, AK Md Nur Arif Malek Ridhwan, beliau sempat berdepan dengan cabaran apabila penulis skrip membuat perubahan sehingga beliau, selaku seorang pengarah, perlu segera menukar perancangannya.

"Penerbit juga terpaksa meminta kebenaran bagi lokasi tersebut," kongsi Arif.

Setiap peserta sudah memulakan proses penulisan skrip berdasarkan tema 'Perhubungan' sejak Julai lalu. Namun, proses penggambaran dan penyuntingannya hanya bermula awal bulan lalu dengan masa diberikan kurang seminggu serta bajet $500.

Mujur, para peserta turut menerima bimbingan khas daripada tiga mentor berpengalaman iaitu Remi M Sali dan Raihan Halim dari Singapura serta Harlif Mohamad dari Brunei.

"Banyak sangat yang boleh saya pelajari daripada beliau. Beliau seorang yang berpengalaman di Brunei. Jadi saya pelajari saranan yang beliau beri tentang penyuntingan atau senarai rakaman kamera," kata Nurhiqmah.

Filem-filem yang dihasilkan secara berkumpulan sudahpun ditayangkan kepada sekitar 130 penonton pada Jumaat lalu (7 September).

Antara yang hadir ialah Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin dan Setiausaha Tetap (Tenaga) dari Brunei Darussalam, Awang Haji Azhar Haji Yahya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan