Images
  • akim one
    Kumpulan Akim & The Majistret akan adakan konsert di Singapura pada tahun depan. (Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAMediacorp)

Akim & The Majistret persembahkan 18 lagu dalam konsert S'pura pada 26 Jan 2018

BERITAMediacorp: Kumpulan pop rock popular dari Malaysia, Akim & The Majistret, berjanji akan membawakan 18 buah lagu dalam konsert sulung mereka di Singapura.

Para anggota kumpulan tersebut mendedahkan demikian dalam satu sidang media di Singapura petang tadi (19 Dis).

Konsert tersebut akan berlangsung selama dua jam dan berlangsung di Dewan Teater Esplanade, pada 26 Januari tahun hadapan.

KONSERT PERTAMA AKIM & THE MAJISTRET DI LUAR M'SIA

Ia merupakan konsert pertama kugiran tersebut di luar Malaysia dan diberi tajuk 'Planet Konsert Akim & The Majistret'.

"Perasaan saya, saya sangat bersyukur, sangat gembira bila diterima untuk buat konsert di sini, jadi saya sangat menghargai dengan pengalamannya, satu pengalaman yang saya rasa saya tak dapat lupakan sampai bila-bila, sebuah pengalaman yang saya nanti-nantikan.

"Ini adalah satu peluang yang saya rasa saya perlu rebut daripada awal lagi saya mahukan benda ini, saya tak sabar untuk bersama-sama dengan orang Singapura pada 26 hari bulan Januari ini," kongsi Akim kepada BERITAMediacorp.

Kumpulan itu, yang pernah memenangi anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Juara Lagu ke-30, bakal mendendangkan lagu-lagu popular mereka termasuk Mewangi dan Potret.


PEMINAT BOLEH DAPAT MEMASUKI DUNIA AKIM & THE MAJISTRET

Konsert tersebut dianjurkan oleh syarikat Adi Media, yang turut memiliki syarikat RoseValley.

Ini kali pertama syarikat tersebut menganjurkan konsert besar seperti itu.

"Kami sangat gembira untuk mengadakan konsert ini kerana bukan senang untuk mendapatkan Akim & The Majistret, dan apatah lagi konsert ini adalah 'Planet Akim & The Majistret', jadi bila peminat datang ke konsert ini, bagaikan mereka memasuki dunia Akim & The Majistret," kata Cik Nur Dian Mohamad Rasid, Pengarah Urusan Rosevalley.

Tiket-tiketnya dijual menerusi www.apactix.com.

- BERITAMediacorp/IM/ur

Komen Anda?

Top