Images
  • aishah 13 dis
    (Gambar: Instagram/@aishahjmm)

Aishah akan bawa isu hadiah Gegar Vaganza ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Lembaran tahun 2019 akan buka tidak lama lagi, namun bagi seorang artis, isu yang bermula sejak 2017 belum lagi terhurai - sehingga beliau memutuskan untuk mengambil tindakan lebih drastik.

Demikian yang boleh dikatakan tentang penyanyi Malaysia, Aishah, berhubung isu hadiah yang dijanjikan kepada beliau apabila memenangi pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tahun lalu.

Menurut Malaysiakini, artis yang terkenal dengan lagu Janji Manismu itu, bercadang untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Apabila saya cuba selesaikan perkara itu di luar mahkamah secara baik, banyak pula isu lain yang timbul," kata beliau ketika ditemui Malaysiakini di satu acara di Kuala Lumpur pada Rabu (12 Dis).

“Perkara ini memakan masa dan begitu remeh hingga ada pula permintaan daripada pihak sana (penganjur) agar dikurangkan harga barang kemas itu seandainya ingin digantikan dengan wang ringgit."

Ketika Aishah dijulang sebagai juara GV4, beliau diberi hadiah barang kemas dan dijanjikan sebidang tanah lot banglo.

Namun pelbagai media sebelum ini melaporkan bahawa Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, mendapati hadiah barang kemas yang diberikan adalah palsu selepas beliau merujuknya kepada beberapa pakar barang kemas.

Menurutnya lagi, lot banglo yang dijanjikan pun belum lagi diterimanya atau diberitahu di mana lokasinya.

“Saya jangka akan failkan saman awal tahun depan. Susah sangat nak diselesaikan, kita bagi mahkamah yang buat keputusan,” katanya seperti ditukil Malaysiakini.

Aishah juga berkata beliau tidak akan bertolak ansur berhubung saiz lot tanah yang dijanjikan.

“Saya tak akan terima saiz lebih kecil. Kalau saya terima apa saja alasan mereka habislah artis lain yang masuk program-program macam ni," tegas beliau.

“Golongan artis akan kena buli di masa akan datang, janji lot banglo tapi yang dapat teres."

- Agensi berita/TQ/tq

Top