Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Afgan bakal sertai konsert amal bantu mangsa bencana Palu

Gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda bandar Palu di pulau Sulawesi Tengah di Indonesia terus mendapat perhatian orang ramai, termasuk penyanyi tanah air itu sendiri, Afgan.

Anggaran Waktu Membaca:
Afgan bakal sertai konsert amal bantu mangsa bencana Palu

Penyanyi Indonesia, Afgan. (Gambar: @afgansyah.reza/Instagram)

Diterbitkan : 03 Oct 2018 08:23AM Dikemas Kini : 03 Oct 2018 08:30AM

KUALA LUMPUR: Gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda bandar Palu di pulau Sulawesi Tengah di Indonesia terus mendapat perhatian orang ramai, termasuk penyanyi tanah air itu sendiri, Afgan.

Selain menyebabkan kemusnahan besar, bencana alam tersebut dilaporkan meragut nyawa lebih 1,200 orang setakat ini.

Afgan, atau nama penuhnya Afgansyah Reza, berkongsi kesedihannya terhadap nasib para mangsa bencana alam yang berlaku pada Jumaat lalu (28 Okt).

Malaysiakini menukil Afgan, yang juga seorang penulis lirik, sebagai mengatakan bahawa peristiwa yang menyayat hati itu turut menimbulkan keinsafan buat dirinya.

"Saya bersedih dan dukacita dengan kejadian yang melanda Palu.

"Kadangkala Allah beri teguran dengan pelbagai cara, salah satunya dengan memberikan dugaan besar," kata beliau dengan nada sebak.

Afgan berkata demikian semalam (2 Okt) semasa berada di Kuala Lumpur bagi mempromosikan konsert Dekade Live in Kuala Lumpur, yang dijangka berlangsung pada 3 November ini di Plenary Hall, Pusat Konvensyen KL.

Konsert itu akan diadakan sempena menandakan ulang tahun ke-10 sejak Afgan menceburi bidang muzik.

KONSERT AMAL BAGI PALU

Afgan turut menceritakan bahawa gegaran gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter di wilayah tengah Indonesia itu turut dirasainya ketika beliau berada di pulau peranginan Bali.

Malaysiakini difahamkan bahawa Afgan sedang bercuti di Bali ketika kejadian itu berlaku.

"Waktu kejadian berlaku pada 7.00 pagi dan saya masih tidur, tetapi terjaga dari tidur kerana terasa gegaran.

“Rasanya itulah gegaran paling kuat saya pernah rasai seumur hidup. Bayangkan gegaran yang saya rasa itu di Bali, kalau di Lombok pasti lebih parah,” kata beliau.

Pada Jumaat ini (5 Okt), penyanyi itu bakal mengadakan konsert amal bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung para mangsa bencana alam itu.

“Kira-kira 100 artis lain, termasuk saya bakal menghiburkan penonton di Jakarta bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa kejadian di Palu.

“Sebagai sesama manusia, sekurang-kurangnya ini usaha yang dapat saya lakukan."

Afgan turut berkata beliau juga sedang membantu menyediakan kemudahan air bersih untuk digunakan oleh mangsa di Palu, lapor Malaysiakini.

“Saya membantu menyediakan tempat mandi dan kemudahan air kerana mereka kekurangan air bersih," tambah beliau. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan