Images
  • abby
    (Gambar: abby_abadi112/ Instagram)

Abby Abadi ambil anak angkat, harap asal-usul tidak dipertikaikan

MALAYSIA: Usaha pelakon Abby Abadi untuk memperolehi cahaya mata hasil perkahwinan dengan Muhammad Faizal Zakaria sudah gagal beberapa kali.

Menurut Astro Awani, Abby mengalami keguguran semasa menjalani ibadah umrah pada 2015. Pada 2017 pula, beliau sekali lagi mengalami keguguran semasa usia kandungannya mencecah lima bulan.

Baru-baru ini, beliau dan suaminya, membuat keputusan untuk mengambil dua anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyadh dan Maisara Dayana Fathia.

Seolah-olah ingin mengongsi pengalamannya, Abby menggesa mana-mana pasangan yang berhasrat untuk mengambil anak angkat tidak mempertikaikan asal-usul anak angkat yang ingin dijaga.

Abby menegaskan bahawa bayi yang dilahirkan tidak berdosa dan sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaganya untuk mencorakkan kehidupan mereka.

"Untuk anak-anak yang dicarikan ibu-bapa penjaga ini, tak perlulah ditanya status mereka. Seribu satu macam masalah dalam dunia ini... tak tertulis di sini.

"Yang pasti, sah ke tak sah, mereka tak berdosa. Mereka dilahirkan ibarat kain putih. Kitalah yang bertanggungjawab menjaga mereka untuk menjadikan mereka ini beragama dan kenal Allah atau sebaliknya... Wallahuallam," tulisnya di laman Instagram seperti ditukil mStar.

Dalam pada itu, Abby juga menyatakan bahawa beliau sedia untuk membantu keluarga-keluarga yang berdepan dengan masalah untuk menjaga bayi mereka. Beliau sentiasa terbuka untuk membantu kerana percaya setiap masalah mempunyai penyelesaian. Beliau menggesa supaya para ibu tidak mengambil "jalan singkat".

"Di mana sahaja, saya sedia membantu. Jangan dibuang, jangan dibunuh atau sebagainya ya adik, kakak ya," tulis Abby.

Abby mempunyai tiga anak kandung iaitu Mohamed Danish Hakim, 15 tahun, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10, hasil perkahwinan dengan bekas suaminya, pelakon Norman Hakim, lapor mStar.  

- Agensi berita/AQ/aq

Top