Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

150 pemuzik muda hidupkan kepelbagaian muzik Melayu

Wisma Geylang Serai (WGS) hari ini (10 Nov) bergema dengan penampilan muzik tradisional dan moden menerusi Pesta Muzik Belia Melayu pertama di WGS menjelang pembukaan rasminya, Januari depan.

Anggaran Waktu Membaca:
150 pemuzik muda hidupkan kepelbagaian muzik Melayu

Diberi nama Gala-Laga, pesta itu menyaksikan pemuzik belia tradisional dan moden 'bertarung' untuk menampilkan kepelbagaian dalam muzik Melayu. (Gambar-gambar: Izzah Hafsah)

SINGAPURA: Wisma Geylang Serai (WGS) hari ini (10 Nov) bergema dengan penampilan muzik tradisional dan moden menerusi Pesta Muzik Belia Melayu pertama di WGS menjelang pembukaan rasminya, Januari depan.

Diberi nama Gala-Laga, pesta selama lapan jam itu menyaksikan pemuzik belia tradisional dan moden 'bertarung' untuk menampilkan kepelbagaian dalam muzik Melayu.

Acarai itu adalah salah satu daripada inisiatif untuk mengangkat WGS sebagai pusat budaya Melayu yang utama di negara ini.

Seramai 150 bakat muda mengambil bahagian mempamerkan bakat seni mereka dalam pelbagai genre muzik seperti reggae, gamelan, keroncong, hip hop, dikir barat dan juga pop.

Antara pemuzik tradisional yang membuat persembahan termasuk Nadi Singapura, Dikir Pella, Nobat Kota Singa dan Djoko Mangkrengg.

Pemuzik yang membuat persembahan moden pula seperti Wicked Aura, penyanyi rap Akeem Jahat, pemain piano klasik Nabilla Jalal serta artis-artis lain seperti Singa Ragga, Reggae Remedy dan Famie dari kumpulan Pinholes.

Pihak penganjur berharap pesta itu akan menghidupkan semula minat para belia dalam muzik Melayu. Pada masa yang sama, bakat-bakat muda juga diharap akan sama-sama melestarikan budaya muzik Melayu.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman, sebelum ini berkata WGS berharap acara Gala-Laga itu akan membangkitkan semangat bakat-bakat muda dalam muzik Melayu. Menerusi kerjasama dengan WGS, pihaknya juga berharap untuk mendengar pandangan serta aspirasi para belia, bagi inisiatif-inisiatif masa depan.

Bahkan, acara hari ini (10 Nov), hasil cetusan idea anak-anak muda sendiri.

Dr Maliki, yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara, berkata: "Apabila kita melihat apakah peranan WGS, kami rasa yang penting ialah untuk kami berjaya atau mencuba mengadakan kegiatan-kegiatan dan program-program yang dapat memenuhi citarasa segala lapisan masyarakat daripada warga senja kepada anak muda kita.

"Dari aspek seni, dari aspek muzik, kita dapat memberi wadah kepada mereka. Jika kita lihat aktiviti hari ini, Gala-Laga merupakan satu konsep yang unik sekali, yang menjadi satu cetusan daripada pemikiran anak muda kita sendiri. Kita mendapat idea ini menerusi anak-anak muda yang mengatakan terdapat beberapa genre muzik Melayu di Singapura hari ini dan ini merupakan genre-genre baru yang menjadi citarasa anak muda kita."

Pesta 'Gala-Laga' mencerminkan warisan Melayu/Islam masyarakat Geylang Serai, memandangkan ramai artis dibesarkan di kawasan itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan