Zika

Images
  • thai zika
    Operasi pengkabutan di Bangkok, Thailand. (Gambar: REUTERS/Athit Perawongmetha)

Thailand naikkan tahap amaran terhadap penularan Zika

BANGKOK: Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand hari ini (15 Sep) mengarahkan kesemua 12 Pusat Operasi Kecemasannya supaya meningkatkan tahap amaran kepada tahap dua di tengah-tengah penularan wabak virus Zika.

Dr Amnuay Gajeena, Pengarah DDC berkata keputusan itu dibuat menyusuli satu mesyuarat antara para pegawai DDC dan Pejabat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ODPC), lapor Vietnam News Agency.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Awam mengarahkan semua agensi sokongan supaya menjalankan langkah-langkah untuk memantau, mencegah dan mengawal Zika, termasuk kajian terhadap Zika dan tabiat-tabiat jenis nyamuk yang menularkan virus itu.

Setiap pejabat ODPC tahap wilayah dijangka menjadi pejabat penyelaras wilayah bagi pencegahan penyakit, sementara 10 peratus kakitangan ODPC akan dikerahkan untuk menyertai kegiatan-kegiatan respons kecemasan.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Awam mengumumkan bahawa sekitar 200 kes Zika dilaporkan di negara itu sejak Januari, menjadikan Thailand antara negara dengan kadar jangkitan Zika tertinggi di rantau ini.

Sementara itu, sehingga semalam, Singapura sudah mengesahkan 341 kes Zika sejak 27 Ogos.

Virus Zika merebak di kalangan manusia menerusi gigitan nyamuk Aedes dan hubungan kelamin.

Simptom-simptom jangkitan Zika termasuk demam, konjunktivitis, sakit kepala dan sakit otot. Jangkitan Zika semasa hamil boleh menyebabkan mikrosefali pada kanak-kanak, yang menyebabkan otak kurang terbina dan kepala yang bersaiz lebih kecil daripada normal.

Vaksin bagi virus Zika masih belum ditemui.

- CNA/nd

Top