Zika

Images

Operasi penyemburan asap dimulakan di Simon Place, sehari selepas kelompok Zika dikesan

SINGAPURA: Sehari selepas kelompok Zika yang pertama tahun ini disahkan di Simon Place di Hougang, operasi penyemburan asap mula dijalankan di estet perumahan tersebut.

Semalam (29 Mac), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengesahkan bahawa dua anggota keluarga di estet itu dijangkiti virus Zika.

Notis NEA yang dipasang di kawasan itu menyatakan NEA akan menjalankan operasi penyemburan asap haba di kawasan-kawasan luar di kejiranan itu untuk menghapuskan nyamuk-nyamuk dewasa yang boleh merebakkan virus tersebut.

Para pegawai NEA juga dilihat mengunjungi para penduduk dari rumah ke rumah sekitar 9.00 pagi untuk memaklumkan bahawa operasi penyemburan asap akan bermula tidak lama lagi.

Anggota Parlimen GRC Aljunied Sylvia Lim bercakap kepada para wartawan pagi tadi semasa mengunjungi kawasan itu semasa operasi NEA dijalankan.

"Para penduduk di kawasan itu sudah biasa dengan kelompok penyakit-penyakit bawaan nyamuk - dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penularan denggi juga berlaku di sini. Jadi mereka agak berdaya tahan, mereka secara umum tahu apa yang harus dilakukan dan cara melindungi diri mereka," katanya.

Selain operasi penyemburan asap di kawasan-kawasan luar, para pegawai NEA juga akan menyembur selaput wap dengan isi padu rendah di semua rumah, katanya, dan menggesa semua penduduk memberi kerjasama.

"Saya faham pada masa lalu sesetengah penduduk diperiksa beberapa kali dan mereka agak letih. Tapi anda tidak akan tahu jika keadaan sudah berubah, jadi tolonglah bekerjasama dengan pihak berkuasa," ujarnya.

"Pada masa yang sama, kami mesti terus bertenang dan terus memikirkan perspektifnya... jangan terlalu panik dengan situasi ini."

KLINIK-KLINIK: TIADA LAGI KES DIKESAN

Para doktor biasa (GP) di kawasan itu yang bercakap kepada Mediacorp pagi tadi berkata tiada di kalangan pesakit mereka menunjukkan tanda-tanda Zika.

Namun Dr Chua Boon Ling dari Simon Road Family Clinic berkata dalam dua minggu lepas, seorang pesakit datang dengan simptom flu dan kembali beberapa hari kemudian dengan demam panas.

Dr Chua berkata oleh kerana kawasan itu diisytiharkan sebagai kelompok Zika, Dr Chua berkata beliau akan memantau pesakit itu.

Klinik itu juga akan menjalankan ujian-ujian terhadap pesakit yang disyaki dijangkiti Zika.

- CNA/nd

Top