Zika

Images
  • malaysia zika press con
    Menteri Kesihatan Malaysia, S Subramaniam di sidang media pada 14 Sep. (Gambar: Sumisha Naidu)

Kementerian kesihatan M'sia akan bertemu majlis fatwa mengenai pengguguran bayi Zika

PUTRAJAYA: Kementerian kesihatan Malaysia akan bertemu dengan Majlis Fatwa Kebangsaan minggu depan untuk membincangkan sama ada wanita hamil yang dijangkiti Zika sepatutnya dibenarkan menggugurkan bayinya.

Di satu sidang media hari ini (14 Sep), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam akur tentang perlunya mempertimbangkan risiko bayi-bayi dilahirkan dengan mikrosefali.

"Kami sudah ada kes Zika di Malaysia. Kami belum mengenal pasti sama ada ia ada kaitan dengan komplikasi lain kerana jumlahnya tidak banyak, tetapi agar selamat, lebih baik untuk menganggap risikonya sama," kata Dr Subramaniam.

Para pegawai kesihatan berkata bahawa sejauh ini, mereka sudah mengenal pasti dua asal-usul berbeza virus Zika dalam dua daripada enam pesakit Zika di Malaysia.

Salah satu didapati sama dengan yang dikesan di Amerika Selatan dan di Singapura sekarang ini - negara yang dikunjungi pesakit pertama Zika di Malaysia.

Jenis virus kedua dikesan pada seorang pesakit di Likas di Timur Malaysia dan merupakan jenis Zika yang pernah direkodkan di Malaysia.

Risiko bayi mengalami mikrosefali, yang menyebabkan mereka dilahirkan dengan kepala bersaiz lebih kecil daripada biasa, dikesan pada jenis virus yang ditemui di Amerika Selatan, tambah mereka.

Mengenai mesyuarat itu, Dr Subramaniam berkata: "Jika Majlis Fatwa Kebangsaan mencapai persetujuan, mengenai komponen saintifik, fraterniti perubatan akan berhimpun dan mengeluarkan nasihat."

Sekarang ini, Kanun Keseksaan Malaysia hanya membolehkan kandungan digugurkan sekiranya ia membahayakan kesihatan si ibu. Namun, seorang ulama sudah membenarkan ibu-ibu yang dijangkiti Zika supaya menggugurkan kandungan mereka.

Sementara itu, Malaysia terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan virus itu termasuk menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan menyembur ubat pembunuh larva di tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Menteri Kesihatan itu juga mengulangi nasihatnya kepada para ibu hamil supaya cuba mengelak ke Singapura, di mana lebih 300 kes Zika dilaporkan, atau melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk sekiranya perlu ke sana.

- CNA/nd

Top