Zika

Images
  • fogging (1)
    Operasi pengkabutan di sebuah estet perumahan di Singapura di mana kes-kes Zika disahkan. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Bishan Street 12 diisytihar bukan kelompok Zika yang aktif

SINGAPURA: Bishan Street 12 bukan lagi kelompok Zika yang aktif.

Kelompok itu yang terletak di kawasan sekililing Blok 122, 123 dan 124 adalah yang pertama untuk dibebaskan daripada kelompok Zika sejak kes jangkitan tempatan pertama Zika disahkan pada 27 Ogos lalu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan kelompok itu disahkan terhurai pada 19 September, selepas tiada kes baru dilaporkan di sana selepas dua minggu.

NEA menambah ia akan terus memantau kawasan Bishan itu, yang mempunyai sejumlah lima kes Zika dilaporkan, dengan rapi hingga 10 Oktober ini.

NEA menyatakan tempoh pemantauan itu disebabkan tempoh pengeraman, dan jangka hayat nyamuk Aedes.

Terdapat lapan kelompok Zika yang lain di mana NEA sedang meneruskan dengan operasi kawalan nyamuk dan usaha mendampingi penduduk.

NEA menambah tujuh kelompok itu juga tidak mempunyai kes-kes baru sepanjang seminggu atau lebih kebelakangan ini.

Jika tiada kes dilaporkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini di kelompok tersebut, kelompok-kelompok itu juga akan dibebaskan kelompok Zika.

Menurut NEA, terdapat juga kemerosotan jumlah kes di kelompok Aljunied Crescent.

Semasa kemuncaknya, lebih 20 kes dilaporkan di sana pada setiap hari, tetapi kini ia merosot kepada 29 kes dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini - sekitar dua kes sehari.

Agensi itu juga mengesahkan dua lagi kes jangkitan tempatan Zika setakat sehingga 3.00 petang tadi (28 September).

- CNA/ru

Top