Skip to main content

Iklan

Iklan

Tiada lagi ziarah Aidilfitri di M'sia selepas PKPB dikuatkuasakan semula

Memasuki hari kedua bulan Syawal hari ini (25 Mei), bermakna rakyat tidak boleh lagi meneruskan budaya kunjung-mengunjung dan aktiviti ziarah Aidilfitri selepas ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada lagi ziarah Aidilfitri di M'sia selepas PKPB dikuatkuasakan semula

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 May 2020 09:19AM Dikemas Kini : 25 May 2020 09:23AM

KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua bulan Syawal hari ini (25 Mei), bermakna rakyat tidak boleh lagi meneruskan budaya kunjung-mengunjung dan aktiviti ziarah Aidilfitri selepas ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kerajaan sebenarnya memberi kelonggaran itu hanya pada hari pertama sambutan Aidilfitri dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), antaranya terhad kepada 20 ahli keluarga terdekat, mengamalkan jarak sosial dan menjaga kebersihan.

Meskipun ada segelintir golongan degil yang enggan mematuhi SOP dengan mencuba nasib merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun sebilangan besar masyarakat di negara ini dilihat sudah dapat menyesuaikan diri dengan norma baru sambutan perayaan itu pada tahun ini.

Misalnya, masjid, surau dan tanah perkuburan yang menjadi tumpuan utama umat Islam pada 1 Syawal saban tahun, dilihat sepi dan lengang menyusuli perintah larangan yang dilaksanakan di kebanyakan negeri.

Perintah larangan itu juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada umat Islam di negara ini mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga menerusi solat sunat Aidilfitri dan penyampaian khutbah di kediaman masing-masing.

Selain itu, bagi golongan bujang yang tidak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga tercinta, kemajuan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggunakan aplikasi panggilan video yang digunakan untuk mengubati rindu mereka pada anggota keluarga.

Sememangnya sudah menjadi tradisi sambutan Aidilfitri adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan sanak saudara, sahabat handai serta jiran tetangga dan masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini saling berkunjung pada hari raya.

Namun, penularan pandemik COVID-19 tidak mengizinkan tradisi itu diteruskan pada tahun ini kerana aktiviti ziarah Aidilfitri melibatkan pergerakan dan berjumpa dengan ramai orang pada satu-satu masa, termasuk dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 62.6 peratus daripada kes kematian akibat COVID-19 terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas manakala 80.7 peratus kes kematian melibatkan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan penyakit lain.

Malah, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Encik Ismail Sabri Yaakob, pernah mengingatkan orang ramai supaya mendisiplinkan diri untuk elak berjumpa orang ramai walaupun kelonggaran diberikan untuk beraya kerana sudah ada kes jangkitan wabak COVID-19 di luar negara akibat aktiviti ziarah itu.

Beliau mengambil contoh kejadian di Bahrain dan New Jersey, Amerika Syarikat apabila ada keluarga yang terdiri daripada 16 individu menghadiri majlis berbuka puasa dan empat orang berkumpul untuk jamuan makan yang akhirnya menyebabkan mereka semua dijangkiti COVID-19.

Ada sebabnya mengapa kerajaan melaksanakan larangan ziarah Aidilfitri itu, bukan semata-mata untuk menyekat sepenuhnya pergerakan orang ramai ketika musim perayaan tetapi bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang mungkin membawa maut kepada golongan berisiko.

Justeru, umat Islam diminta supaya bersabar menerima ketetapan sambutan bulan Syawal tahun ini dalam norma baru dengan hati yang terbuka.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan