Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Seni budaya Nusantara terus diraikan; nikmati online pelbagai edisi popular Pesta Raya Esplanade

Pesta Raya, acara tahunan sempena Hari Raya Aidilfitri yang meraikan pelestarian seni, warisan dan budaya Nusantara tetap bersemarak meskipun diadakan secara maya tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Seni budaya Nusantara terus diraikan; nikmati online pelbagai edisi popular Pesta Raya Esplanade

(Gambar: Jack Yam/Esplanade - Theatres on the Bay)

SINGAPURA: Pesta Raya, acara tahunan sempena Hari Raya Aidilfitri yang meraikan pelestarian seni, warisan dan budaya Nusantara tetap bersemarak meskipun diadakan secara maya tahun ini.

Dari 19 hingga 28 Jun, penganjurnya Esplanade Teater di Pesisiran akan menampilkan tiga produksi baru dan enam rakaman arkib pementasan dari edisi-edisi Pesta Raya yang lalu.

Semuanya akan dimuat naik ke laman rasmi Pesta Raya untuk dinikmati para pencinta seni pada bila-bila masa saja dari keselesaan rumah masing-masing.

BANGKITKAN SEMANGAT, PUPUK SIKAP POSITIF MESKI DI TENGAH PANDEMIK

(Gambar: Danial Hakim/Esplanade - Theatres on the Bay)

(Gambar: Esplanade Teater di Pesisiran)

“Menerusi Pesta Raya Online, kami berharap ia dapat menaikkan semangat dan memupuk sikap positif semasa musim perayaan ini dengan menampilkan program rencam yang penuh dengan karya terbaik dari dunia kesenian Melayu, yang tradisional dan kontemporari, dan dari pelbagai genre,” kongsi Hanie Nadia Hamzah, pengatur cara Pesta Raya dalam satu kenyataan media.

“Pesta tahun ini sepatutnya yang ke-19 dan merupakan yang pertama di mana kami tidak dapat bersama para penonton dan artis-artis secara fizikal. Walau bagaimanapun, kami meneruskan usaha dengan mengalihkan pesta ke ruang siber, agar ahli keluarga dapat terus menikmati persembahan seni bersama-sama, dan mereka yang tidak berada di Singapura juga berpeluang menyertai apa yang kami tawarkan di Pesta Raya Online," dedahnya kepada BERITAmediacorp.

PERSEMBAHAN POPULAR DISUNTING DAN DIHIDUPKAN KEMBALI

Apakah yang akan berlaku kelak jika watak-watak cerita rakyat seperti Mat Jenin, Pak Belalang dan Nenek Kebayan tinggal di kampung yang sama?

Penulis Zulfadli Rashid dan pengarah Aidli Mosbit meneroka dunia fantasi itu dalam pementasan yang mencuit hati, Alkesah.

(Gambar: Esplanade - Theatres on the Bay)

(Gambar: EsplanadeTeater di Pesisiran)

Persembahan teater berwarna-warni itu pertama kali dipentaskan di Pesta Raya 2018 dan kumpulan pelakonnya yang terdiri daripada Siti Khalijah Zainal, Jeff Catz, Siti Hajar Gani, Hatta Said dan ramai lagi berjaya memenangi Anugerah Ensembel Terbaik semasa majlis penganugerahan The Straits Times’ Life Theatre Awards pada tahun yang sama.

Sempena Pesta Raya tahun ini pula, ia disunting untuk disiarkan secara online dengan sokongan daripada Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Lima lagi persembahan dari edisi-edisi Pesta Raya yang lalu turut disunting semula. Antaranya Hikayat Gundik Berirama yang menggabungkan kumpulan indie Malaysia The Venopian Solitude yang berkongsi pentas dengan duo muzik elektronika Singapura .gif, Dikir-pella yang memberi nafas baru kepada lagu-lagu dikir barat dengan alunan padu suara acapella oleh tujuh Tok Juara paling terkemuka di Singapura, serta Raya Block Party yang menampilkan bakat-bakat hip hop dan R&B dari Singapura dan Malaysia seperti Fariq, HunnyMadu, Kayda, Akeem Jahat dan Radio3000.

PERSEMBAHAN BARU DIRAKAM SENDIRI DI RUMAH

Meski menghadapi cabaran baru untuk merakam sendiri persembahan masing-masing dari rumah, artis-artis yang diundang Esplanade berjaya melahirkan tiga produksi baru yang menarik.

Hafidz Rahman dan Zuhairi Idris dari Lepak One Korner mengacarakan dua episod Pentas Pesta, yang akan menampilkan wawancara bersama Zalelo dan Izat Ibrahim, serta Asnida Daud dan Megat Firdaus – dua pasangan yang telah mencipta lagu-lagu raya baru.

Selain itu, Hafidz dan Zuhairi turut menemu ramah beberapa artis dari persembahan-persembahan yang akan disiarkan di Pesta Raya Online.

Para penonton yang bosan duduk di rumah sahaja boleh mengikuti bengkel tarian kumpulan anak Melayu Singapura, Artistari Gentari. Lebih menarik lagi, para penonton juga berpeluang mempelajari langkah tarian Joget Pucuk Pisang yang menggabungkan dua lagu joget klasik, atau tonton sahaja persembahan kontemporari #stateofemergency yang menggabungkan tarian dan filem.

Kanak-kanak juga tidak ketinggalan dengan adanya sesi bercerita 'Ia masih Hari Raya'! (It’s still Hari Raya!). Lulusan wanita Melayu/Islam pertama dari Institut Teater Silang Budaya, Tysha Khan, mengajak anda terus meraikan Hari Raya walaupun dalam keadaan yang berbeza dengan bernyanyi dan bersuka ria.

Tirai Pesta Raya Online dibuka dari 19 Jun jam 8.00 malam hingga 28 Jun jam 11.59 malam di www.esplanade.com/pestaraya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan