Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas 11 hari di ambang maut; pesakit COVID-19 Efendi Abdul Rahman terjaga dari koma pada malam Raya

Ibarat satu kejutan yang menakjubkan apatah lagi selepas sebulan berpuasa dan terpisah pula daripada insan yang disayang! Cik Sharifah Radiah Ameer bagai tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya beliau apabila dapat bersua dengan suami menerusi panggilan video pada malam raya (23 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ibarat satu kejutan yang menakjubkan apatah lagi selepas sebulan berpuasa dan terpisah pula daripada insan yang sejak sekian lama menjadi tunggak kekuatan keluarganya!

Cik Sharifah Radiah Ameer, 42 tahun, bagai tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya beliau apabila dapat bersua dengan suami menerusi panggilan video pada malam raya (23 Mei).

11 HARI DI AMBANG MAUT

Sepanjang 23 tahun mendirikan rumahtangga, inilah kali pertama Cik Sharifah tidak dapat beraya bersama suami di sisinya. Mentelah lagi, sebelum ini Cik Sharifah dan tujuh orang anaknya tidak dapat bertemu muka dengan suaminya, Encik Efendi Abdul Rahman, 43 tahun yang disahkan positif COVID-19 sejak dimasukkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada 7 Mei lalu.

Selepas 11 hari bertarung nyawa melawan COVID-19 dan tenat pula dalam keadaan koma, Encik Efendi mula menunjukkan tanda-tanda dia semakin pulih dan kembali sedar.

Menceritakan hal itu kepada BERITAmediacorp, isterinya berkata: “Selepas seminggu lebih dalam keadaan koma itu, doktor mengeluarkan intubasi dari mulutnya. Kata doktor, virus korona ini sudah tak merebak dalam badannya. Mereka nak cuba beri peluang untuk suami saya bernafas sendiri. Jadi bila sudah keluarkan intubasi itu, dia pakai pelitup gas yang biasa.“

Malangnya, apa yang diharap-harapkan tidak menjadi kenyataan, malah lebih parah lagi.

DEGUPAN JANTUNG SUAMI TERHENTI

“Keesokan harinya, kami mendapat panggilan dari doktor dan diberitahu jantung suami saya terhenti. Waktu itu degupan jantungnya sudah tiada dalam kira-kira dua minit. Mereka cuba lakukan resusitasi dan masukkan semula tiub pernafasan tapi tiub itu tak boleh lama,” kata Cik Sharifah.

Segala ikhtiar diusahakan oleh para doktor dan Cik Sharifah dimaklumkan doktor pada 19 Mei bahawa mereka perlu menebuk lubang pada bahagian leher suaminya bagi membuka saluran pernafasan atau kaedah yang dipanggil “tracheostomy”.

Kadar oksigen dalam tubuh Encik Efendi kemudian bertambah baik dan dia sedar semula dan beransur pulih.

BAJU BATIK KEGEMARAN BUAT PAKAIAN HARI RAYA

Dengan Hari Raya Aidilfitri semakin menjelma, Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Ng Teng Fong mendapat idea dan mahu membawa keceriaan dan membangkitkan semangat Encik Efendi dan keluarganya tiga hari lalu (21 Mei). Lantaran itu, salah seorang kakitangan Hospital Besar Ng Teng Fong pergi ke rumah Encik Efendi untuk mengambil baju batik kegemarannya.

Cik Sharifah kemudian menyerahkan baju itu kepada kakitangan tersebut yang datang memakai pelitup sambil menjaga jarak selamat di kolong bloknya.

Pada malam raya (23 Mei), mereka menyalinkan pakaian Encik Efendi dan mengadakan panggilan video bersama keluarganya.

Pegawai Sosial Perubatan Hospital Besar Ng Teng Fong, Cik Nur Shafawati Saini memberitahu BERITAmediacorp: “Pihak kami melihat ini sebagai sesuatu yang patut diraikan lagi pun Hari Raya pun akan menjelang. Oleh itu kami merancang untuk membuat satu panggilan video. Saya juga diberitahu dalam panggilan video itu, dia menghantar bentuk hati kepada anak-anaknya.”

“Waktu ini bukanlah waktu yang mudah bagi Encik Efendi dan keluarganya kerana mereka tidak dapat bersama pada Hari Raya tetapi kami melihat mereka mempunyai semangat berjuang yang sangat kuat dan tabah melalui ujian ini dan kami dengar Encik Efendi sangat gembira apabila dapat berinteraksi dengan ahli keluarganya menerusi panggilan video dan ia sangat mengharukan,” tambah Cik Nur Shafawati.

Gembira, sedih, rindu, lega dan kelu lidah tak terkata. Begitulah rasa yang bermain dalam hati nurani Cik Sharifah apabila dapat bersua dengan suami tercinta pada malam raya walaupun menerusi panggilan video sahaja.

“Semalam kita tak nak emosi sangat waktu panggilan video itu, tak nak buat dia sedih sebab dia nak balik rumah, kalau boleh dia nak balik sambut raya dengan anak-anak dia. Saya bilang dia tak mengapa, selagi awak belum baik itu, duduk sahaja di hospital dulu agar keadaan kesihatan bertambah baik, baru awak balik rumah. Kemudian kita boleh sambut Hari Raya, kalau tidak pada Hari Raya Aidilfitri ini, pada Hari Raya Aidiladha ke?”

SOALAN PERTAMA SUAMI BILA BERSUA

Walaupun masih belum boleh bercakap, Encik Efendi hanya dapat berkomunikasi menerusi bahasa isyarat atau menulis di papan putih yang diberikan.

Selain bertanyakan tentang anak-anaknya, perkara yang ditanyakan Encik Efendi yang dibaca menerusi gerak bibirnya, mencuit hati Cik Sharifah yang menunjukkan betapa suaminya itu sangat mengambil berat tentang tugasnya.

“Dah bilang bos? Perkara pertama dia tanya saya dah beritahu bos dia bahawa dia berada di dalam hospital. Saya cakap awak jangan susah hati, mereka tahu awak di hospital,”

Walaupun gembira dapat bersua, rasa sayu juga menyusup ke hati Cik Sharifah apabila melihat perubahan pada wajah suaminya.

“Sedih juga sebab wajah dia berbeza dari apa yang selalu lihat, mungkin sebab kesan ubat-ubat tapi apa yang penting saya dapat tengok dia sudah sedarkan diri. Saya tahu dia sedang melawan virus itu.”

KEADAAN KINI LEBIH STABIL

Doktor memberitahu Cik Sharifah bahawa keadaan suaminya kini lebih stabil dan walaupun terdapat pendarahan dalaman, ia sudah dapat diatasi.

Buat masa ini, Encik Efendi perlu banyak berehat untuk organ dalamannya kembali pulih agar tidak lagi bergantung kepada sokongan mesin.

Tidak dapat dijangka nilai dan betapa besar ucapan terima kasih yang Cik Sharifah ingin sampaikan buat tenaga kerja Hospital Besar Ng Teng Fong yang berdedikasi menjaga suaminya dengan baik setakat ini.

PENGHARGAAN BUAT PEGAWAI PERUBATAN

“Saya amat terharu dan amat berterima kasih kerana mereka bertungkus lumus untuk bekerja keras membaikpulihkan suami saya daripada dia tak sedarkan diri sampai sekarang dia bolehlah berkomunikasi dengan kita. Saya amat bersyukur,” dedah ibu kepada tujuh orang anak itu kepada BERITAmediacorp.

Selain itu, Cik Sharifah juga amat menghargai sokongan dan dorongan masyarakat buat dirinya dan keluarga yang membantu mereka sepanjang suaminya dimasukkan ke hospital, termasuklah dari pihak yang tidak dikenalinya sebelum ini.

“Saya amat berterima kasih juga kepada rakyat Singapura yang banyak membantu kami. Bantuan zakat dan sebagainya untuk anak-anak saya. Saya terharu dan sangat menghargainya,” kata Cik Sharifah sebelum menamatkan wawancaranya bersama BERITAmediacorp pada Hari Raya pertama ini. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Syawal: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan