Skip to main content

Iklan

Iklan

Mangsa pesawat malang Pakistan kongsi detik ngeri pesawat terhempas

Seorang daripada dua mangsa yang terselamat daripada nahas pesawat di Pakistan yang meragut 97 nyawa, menceritakan detik beliau menyelamatkan diri daripada bangkai pesawat yang dijilat api setelah terhempas di sebuah kawasan perumahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa pesawat malang Pakistan kongsi detik ngeri pesawat terhempas

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 May 2020 09:10AM Dikemas Kini : 25 May 2020 09:15AM

KARACHI: Seorang daripada dua mangsa yang terselamat daripada nahas pesawat di Pakistan yang meragut 97 nyawa, menceritakan detik beliau menyelamatkan diri daripada bangkai pesawat yang dijilat api setelah terhempas di sebuah kawasan perumahan.

Pesawat Pakistan International Airlines (PIA) itu merempuh beberapa buah rumah selepas kedua-dua enjin gagal berfungsi ketika menghampiri lapangan terbang Karachi, menurut syarikat penerbangan berkenaan.

Sayap pesawat itu merempuh bumbung rumah, sekali gus mencetuskan kebakaran dengan kepulan asap tebal, yang menyaksikan operasi menyelamat dijalankan sehingga awal pagi Sabtu (23 Mei).

Kementerian Kesihatan wilayah itu memaklumkan, seramai 97 mangsa berada dalam pesawat, manakala empat lagi yang berada di darat ketika itu turut mengalami kecederaan, selepas laporan awal menyatakan beberapa penduduk terkorban akibat insiden tersebut.

Nahas pesawat yang meragut nyawa paling ramai mangsa dalam tempoh lapan tahun di Pakistan itu berlaku selepas penerbangan komersil kembali beroperasi menjelang cuti sempena sambutan Aidilfitri.

Sebelum ini, pesawat-pesawat tidak dibenarkan beroperasi ketika perintah berkurung selama dua bulan dikuatkuasakan akibat pandemik COVID-19.

"Setelah pesawat terhempas dan saya tersedar semula, saya nampak api di sekeliling bangkai pesawat dan tiada sesiapa pun kelihatan.

"Tangisan kedengaran di mana-mana saja dan semua orang cuba menyelamatkan diri. Saya membuka tali pinggang keledar di tempat duduk dan nampak sedikit cahaya lalu cuba bergerak ke arahnya.

"Saya kemudian melompat keluar," imbas kembali penumpang pesawat itu, Encik Mohammad Zubair, 24 tahun, dari katil hospital dalam satu klip video yang tular di media sosial.

Menurut seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Encik Zubair mengalami kelecuran tetapi berada dalam keadaan stabil.

Syarikat penerbangan terbabit memaklumkan, seorang lagi mangsa yang terselamat ialah Presiden Bank Punjab, Zafar Masud.

Pada Sabtu, Ketua Eksekutif PIA, Arshad Mahmood Malik memberitahu media bahawa pihak berkuasa juga sudah menemui kotak hitam pesawat malang itu dan menyerahkannya kepada para penyiasat.

Sekurang-kurang 19 mayat sudah dikenal pasti, manakala 47 saudara mangsa sudah tampil untuk memberikan sampel DNA.

Upacara pengebumian yang pertama juga sudah dijalankan, dengan lebih banyak lagi bakal menyusul.

Di upacara pengebumian tersebut, Jehanzeb Baloch menceritakan bagaimana anak saudara beliau, Mejar Shaheryar Baloch, 'sepatutnya tiba pada Jumaat lalu tetapi terpaksa menangguhkannya' sebelum terkorban dalam nahas itu bersama isteri dan dua orang anak mereka. Keluarga itu merancang untuk pulang ke Karachi sempena cuti Aidilfitri.

Dalam pada itu, pihak tentera turut memaklumkan bahawa beberapa orang askar juga berada dalam pesawat berkenaan.

"Sambutan Aidilfitri tidak lagi bermakna bukan hanya di Karachi tetapi di seluruh Pakistan," kata Zia ul Huq Qamar yang tinggal berdekatan dengan tempat kejadian.

Shahbaz Hussain pula berkata, ibunya yang juga antara mangsa nahas itu, pulang ke Karachi selepas terkandas di Lahore akibat perintah berkurung ketika melawat anak perempuannya.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan