Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga manfaatkan detik akhir Syawal untuk berkumpul sedang syarat ziarah dilonggarkan

Kemeriahan suasana Hari Raya bagi sebahagian keluarga disemarakkan kembali pada hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kemeriahan suasana Hari Raya bagi sebahagian keluarga disemarakkan kembali pada hujung minggu ini.

Dengan kegiatan sosial secara terhad dibenarkan, beberapa keluarga mengambil peluang itu untuk berkumpul.

BERITAmedicorp menjenguk perjumpaan keluarga tiga generasi yang meraikan tiga sambutan sekali gus pada hari kedua terakhir bulan Syawal.

PERTAMA KALI SELURUH KELUARGA BERKUMPUL SEJAK APRIL

Kali terakhir Encik Kasturi Kassim, 62 tahun dan isterinya Siti Faizah, 53 tahun berjumpa dengan anak sulung dan anak kedua mereka adalah sebelum tempoh pemutus jangkitan hampir tiga bulan lalu.

Lantas, mereka hanya dapat beraya bersama tiga anak serta menantu mereka yang tinggal sebumbung.

Bagi dua anak pertama mereka pula, mereka hanya berhubung melalui wadah 'Zoom'.

Hari ini (21 Jun) pula merupakan hari istimewa kerana beliau dapat bersua muka dengan dua anaknya yang tidak tinggal bersamanya.

Memandangkan setiap isi rumah sudah boleh menerima sehingga lima tetamu pada satu-satu masa pada fasa kedua pembukaan semula Singapura, Encik Kasturi tidak berlengah menjemput anak-anaknya ke rumah untuk beraya.

Walaupun beberapa batasan kegiatan sosial masih dikuat kuasakan, Encik Kasturi bersyukur kerana jumlah anggota keluarga anak-anaknya tidak melebihi had lima orang.

Encik Kasturi berkata: "Sungguh gembira sekali sebab pada bulan Jun ini, kirakan yang terakhir kita dapat berjumpa semua terutama sekali anak-anak saya. Ini yang terakhir, minggu terakhir kita dapat berjumpa pada bulan Syawal."

Detik-detik terakhir bulan Syawal teramat manis bagi mereka kerana terubat rindu kesemua anggota keluarga.

TIGA SAMBUTAN SEKALI GUS

Secara kebetulan, mereka bukan sahaja dapat menyambut Hari Raya bersama, tetapi juga sambutan Hari Bapa dan hari lahir.

"Pada saya simboliknya saat-saat terakhir bulan Syawal ini saya dapat bertemu dengan keluarga saya. Lagipun kami dapat menyambut hari jadi anak saya, hari ini pun hari bapa dan terakhir dapat menyambut Hari Raya dengan keluarga," kata menantu Encik Kassim, Encik Hasrul Siregar Hasbullah, 32 tahun.

Beliau menambah: "Istimewanya sudah tentu, sebab kalau mereka tidak beri peluang orang datang ke rumah dengan had lima orang, saya rasa kita di rumah sahaja, tak perlu raikan. Dah berapa bulan pun kita sunyi sahaja di rumah."

Encik Kasturi berkata beliau gembira dapat berkumpul dengan kesemua anggota keluarganya walaupun hanya dapat melakukannya pada hari ke-29 Syawal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan