Skip to main content

Iklan

Iklan

Kasih sayang, rasa rindu perlu diimbangi dengan langkah keselamatan demi lindungi orang tua kita, nasihat Masagos

Sedang kita berusaha untuk mengimbangi keperluan emosi warga tua, yang mungkin terganggu dek pandemik COVID-19, masyarakat juga perlu terus mematuhi panduan keselamatan yang dilakarkan agar kesihatan semua kekal terpelihara.

Anggaran Waktu Membaca:
Kasih sayang, rasa rindu perlu diimbangi dengan langkah keselamatan demi lindungi orang tua kita, nasihat Masagos

Hanya dua orang daripada keluarga yang sama boleh menziarahi ibu bapa atau datuk nenek mereka pada satu-satu masa, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong. (Gambar: Odua Images/Canva menerusi TODAY)

SINGAPURA: Sedang kita berusaha untuk mengimbangi keperluan emosi warga tua, yang mungkin terganggu dek pandemik COVID-19, masyarakat juga perlu terus mematuhi panduan keselamatan yang dilakarkan agar kesihatan semua kekal terpelihara.

Demikian nasihat oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menjelang tamat tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 1 Jun ini di mana orang ramai akan mula menziarahi orang tua mereka yang tidak duduk sebumbung.

Pemerintah sebelum ini mengumumkan 'circuit breaker' tidak akan diteruskan apabila ia berakhir pada 1 Jun. Penduduk juga dibenarkan untuk menziarahi ibu bapa lanjut usia atau datuk nenek mereka mulai 2 Jun tetapi dengan beberapa syarat.

Setiap keluarga hanya boleh menerima dua tetamu sehari dan mereka mestilah daripada keluarga yang sama, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Merujuk kepada perkara itu dalam catatan Facebooknya hari ini (28 Mei), Encik Masagos berkata bahawa para doktor sebenarnya melahirkan keprihatinan akan risiko yang datang bersama perihal menziarah tersebut.

Sungguhpun ia mengubat rindu buat anggota keluarga tersayang yang sekian lama berjauhan, menurut menteri itu, ia juga dikhuatiri jika keselamatan warga emas khususnya akan terjejas dengan kunjung-mengunjung sedemikian.

"Tetapi kesihatan mental mereka pula akan terganggu jika kita tidak menziarahi mereka," tulisnya.

"Kelonggaran ini bukan untuk membenarkan amalan ziarah-menziarahi sempena Syawal, malah ia demi memenuhi keperluan emosi orang tua kita yang mungkin tertekan menghadapi situasi yang sangat mencabar ini."

Namun beliau mengingatkan, jika kita gagal mematuhi peraturan, besar kemungkinan golongan senja itu boleh dijangkiti kerana lebih ramai yang hadir dalam satu-satu masa.

"Jika ia menyebabkan jangkitan dalam masyarakat, pengorbanan kita selama ini akan sia-sia. Janganlah kelalaian atau keasyikan kita membahayakan nyawa golongan yang mudah terkesan ini," pinta beliau.

Sebagai panduan, sekumpulan pegawai kesihatan dan doktor di M³ menerbitkan sebuah video pesanan tentang langkah berjaga-jaga yang wajar diamalkan apabila 'circuit breaker' ditarik balik.

Antara pesanan yang disampaikan termasuk kerap mencuci tangan, sentiasa memakai pelitup muka dan terus menjaga jarak selamat demi kesejahteraan diri serta orang tua yang diziarahi.

Mereka juga meminta individu supaya selalu mengingatkan ibu bapa dan datuk nenek mereka supaya usah keluar dan terus duduk di rumah.

"Kita khuatir jika mereka dijangkiti virus COVID-19, mereka mungkin terpaksa menerima rawatan yang amat menyeksakan, kita tidak sanggup melihat mereka dalam kesakitan, apatah lagi bila nyawa mereka terancam," kata Encik Masagos.

Beliau amat berharap setiap seorang daripada anggota masyarakat dapat sama-sama mematuhi garis panduan tersedia agar lawatan ke rumah orang tua demi mengubat rasa rindu tidak berakhir dengan satu episod yang tidak diingini.

"Ingatlah penyakit COVID-19 bukan setakat selesema, ia boleh membawa maut." 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan