Skip to main content

Iklan

Iklan

Ibu ini rayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga setelah 8 bulan hilangkan diri

"Tiada makna Syawal kali ini ... saya terlalu merinduinya kerana dialah anak saya yang pertama dan tulang belakang keluarga kami," begitulah luahan seorang ibu, Cik Asiah Basiron yang merayu anaknya Muhd Akmal Sharul Nizam Ab Rahim pulang.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu ini rayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga setelah 8 bulan hilangkan diri

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Jun 2020 11:21PM Dikemas Kini : 02 Jun 2020 11:33PM

MELAKA: "Tiada makna Syawal kali ini ... saya terlalu merinduinya kerana dialah anak saya yang pertama dan tulang belakang keluarga kami," begitulah luahan seorang ibu, Cik Asiah Basiron yang merayu anaknya Muhd Akmal Sharul Nizam Ab Rahim pulang ke pangkuan keluarga setelah kira-kira lapan bulan menghilangkan diri.

Ibu kepada enam anak itu berkata anak sulungnya yang berusia 22 tahun itu tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk ke tempat kerja di kilang solar di Tanjung Minyak di sini pada 3 Okt tahun lepas dan dipercayai mengikut seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pemandu peribadi kepada seorang gadis yang dikenali anaknya di Facebook.

Cik Asiah, 45, yang tinggal di Kampung Pulau Gadong di sini berkata beliau dan keluarga sudah membuat tiga aduan polis berhubung kehilangan anaknya itu sejak Oktober tahun lepas selain berusaha pelbagai cara termasuk perubatan Islam.

"Selalunya dia yang akan sediakan persiapan Syawal termasuk membeli pakaian baharu untuk adik-adiknya selain membantu perbelanjaan keluarga memandangkan ayahnya hanya bekerja kontrak,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Encik Ab Rahim Yakup, 48 tahun, di Klebang di sini, hari ini.

Cik Asiah berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat Muhd Akmal diminta menghubunginya di talian 017-6226025.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima tiga laporan berhubung kehilangan Muhd Akmal Sharul Nizam dan siasatan 'orang hilang' masih dijalankan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan