Skip to main content

Iklan

Iklan

Budak 5 tahun ini sanggup lukis, kirim kad Raya buatan tangan kerana rindu kawan-kawannya

"Ma, boleh kita berjumpa dengan kawan-kawan sempena Aidilfitri?," tanya anak Cik Farida kepadanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 5 tahun ini sanggup lukis, kirim kad Raya buatan tangan kerana rindu kawan-kawannya

(Gambar-gambar: Farida/Wordpress)

SINGAPURA: "Ma, boleh kita berjumpa dengan kawan-kawan sempena Aidilfitri?," tanya anak Cik Farida kepadanya.

Sarrah, lima tahun, menghitung hari di mana dia boleh akhirnya bersua kembali dengan teman-teman yang dirindui. Dia sering bertanya kepada Cik Farida bilakah COVID-19 akan berakhir dan apa yang mereka boleh lakukan.

Menurut Cik Farida, anak perempuannya itu berkeras mahu menyampaikan ucapan Hari Raya kepada kawan-kawannya.

Maka, tercetus satu idea oleh ibu itu yang juga adalah seorang penulis blog.

Sedang ramai di antara kita bergantung kepada teknologi menerusi persidangan video Zoom untuk kekal berhubungan dengan saudara-mara dan sahabat handai ketika menyambut Lebaran, si cilik itu pula mengambil haluan tradisional.

Sarrah meluangkan waktu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 untuk membuat kad raya, hasil daya kreatif dirinya sepenuhnya sebagai kiriman tanda ingatan kepada rakan-rakannya.

Memandangkan Sarrah perlu membuat sendiri banyak kad dan sampul surat, dia menjebakkan sekali kedua-dua ibu bapanya dalam misinya itu.

"Beliau (Papa) bekerja dari rumah sehari suntuk setiap hari. Jadi ini satu masa rehat yang baik," ujar kanak-kanak itu.

Sarrah kemudian mengumpulkan semua bekalan seni kraf yang boleh didapatkan di rumah sebelum menyingsing lengan untuk memulakan projeknya. Dia melukis, mewarna dan melekatkan sendiri semua ciri-ciri yang diinginkan pada setiap kad. Bahkan, ada sesetengah daripadanya juga mempunyai perincian 'pop out' untuk sentuhan yang sedikit berlainan.

Oleh kerana Sarrah tidak dapat memberikan kad-kad buatan tangannya secara fizikal kepada kawan-kawannya, Cik Faridah mengajar anaknya itu tentang sistem pos.

Setelah sekian lama terperap di rumah, Sarrah keluar untuk meneroka pejabat pos buat pertama kali dan menyambung tugasan akhir - menulis alamat penerima, menutup sampul surat sebelum menampal setem padanya.

Untuk langkah terakhir, dengan bertemankan adik lelakinya, Sarrah memasukkan setiap kad itu ke dalam peti surat berdekatan rumahnya dengan penuh rasa kepuasan.

Cik Farida bukan sahaja berasa bangga bahawa anaknya itu berpeluang mencungkil sisi kreatifnya malahan juga gembira beliau anak-beranak dapat meluangkan masa bermutu semasa 'circuit breaker'.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan