Skip to main content

Iklan

Iklan

Air mata, pilu warga M'sia terpaksa sambut Hari Raya penuh syahdu di S'pura

Bersendirian di bilik tidurnya di sebuah flat sewa HDB, Cik Siti Fatimah Awang, warga Malaysia yang juga pekerja pembersihan, menunggu panggilan video pada Ahad (24 Mei) pagi. Beliau adalah salah seorang daripada ramai warga Malaysia yang menyambut Hari Raya di Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Air mata, pilu warga M'sia terpaksa sambut Hari Raya penuh syahdu di S'pura

Cik Siti Fatimah Awang (bawah, paling kanan) buat panggilan video bersama keluarga pada Hari Raya pertama (Gambar ihsan: Cik Siti Fatimah Awang)

Diterbitkan : 26 May 2020 01:15AM Dikemas Kini : 26 May 2020 01:25AM

SINGAPURA: Bersendirian di bilik tidurnya di sebuah flat sewa HDB, Cik Siti Fatimah Awang, seorang warga Malaysia yang juga pekerja pembersihan di sebuah gim di Chai Chee, menunggu panggilan video pada Ahad (24 Mei) pagi.

Pagi Hari Raya Puasa terlalu berbeza buatnya kali ini.

Lazimnya di kampung halamannya di Johor Baru, Malaysia, beliau akan terkejar-kejar di pagi Hari Raya untuk mempersiapkan rumah dan anak-anak sebelum suami dan anak-anaknya pulang dari masjid.

"Perasaan itu ... yang terbaik," kata Cik Siti Fatimah, 36.

Tahun ini, bagaimanapun, suaminya yang bekerja sebagai pekerja binaan di sini, tidak dibenarkan meninggalkan kemudahan pengasingan sementara untuk pekerja asing. Anak lelaki mereka, berusia tujuh dan dua tahun, dijaga secara berasingan oleh kakaknya di Malaysia dan seorang pengasuh.

Pada Ahad, beliau mengenakan baju kurung ungu, warna yang dipilih keluarganya tahun ini.

Apabila keluarga beliau akhirnya membuat panggilan selama setengah jam, Cik Siti Fatimah mula menangis di flat sewanya di Bukit Merah.

"Saya memberitahu suami saya bahawa saya akan kuatkan diri tetapi ketika melihat anak-anak saya, saya tidak dapat selindungkan perasaan saya lagi," katanya.

"Ia penuh emosi. Tetapi saya gembira saya dapat melihat mereka, walaupun saya berharap dapat memeluk mereka. Tapi mereka selamat dan meraikan Hari Raya dengan orang-orang yang saya percayai, itu yang penting."

Cik Siti Fatimah adalah salah seorang daripada ramai warga Malaysia yang menyambut Hari Raya di Singapura. Sebilangan besar daripada mereka berjauhan daripada keluarga buat pertama kalinya pada hari itu.

Disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan Malaysia (PKP) yang mula dikuatkuasakan pada 18 Mac, rakyat Malaysia juga tidak boleh meninggalkan negara itu dan warga asing tidak dibenarkan masuk.

Mereka yang melakukan perjalanan ke Singapura setiap hari untuk bekerja terpaksa membuat keputusan untuk tinggal di sini buat sementara waktu - atau berkemungkinan kehilangan pekerjaan.

"Saya sedih kerana tidak bersama mereka. Setiap kali kami membuat panggilan video, mereka selalu bertanya bila saya akan pulang untuk bersama dengan mereka lagi. Panggilan video kami selalu berakhir dengan semua menangis. Setiap kali seseorang bertanya kepada saya tentang mereka (anak-anak), saya akan menangis. Kami tidak pernah berjauhan. Saya biasa melihat mereka setiap hari, tetapi sekarang saya tidak dapat melakukan begitu," kongsi Cik Siti.

ANAK MERAJUK, ENGGAN BELI BAJU RAYA

Seorang lagi warga Malaysia, Cik Juliana Abdul Jamak, seorang ahli terapi urut berusia 40 tahun yang juga menetap sementara di Singapura sejak PKP, memberitahu Mediacorp bahawa beliau tidak boleh bercakap tentang berjauhan dengan anaknya pada tahun ini tanpa menitiskan air mata.

Anak lelakinya yang berusia 13 tahun tinggal bersama bekas suaminya sejak mereka bercerai sembilan tahun yang lalu, dan satu-satunya masa yang dapat beliau habiskan bersama anaknya itu adalah semasa cuti sekolahnya, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.

Anaknya turut terjejas dengan ketiadaannya tahun ini, kata Cik Juliana, sambil menambah bahawa dia enggan membeli baju raya baru tahun ini.

“Dia tidak pernah menghabiskan Hari Raya dengan keluarga ayahnya. Saya selalu membawanya pulang ... selalu. Dia memberitahu saya bahawa kerana kita tidak dapat beraya bersama, tidak ada gunanya membeli baju Melayu baru. Dia tetap enggan.

"Saya memberi jaminan kepadanya bahawa kita akan menikmati (waktu bersama) apabila saya kembali," kata Cik Juliana, walaupun beliau sendiri tidak pasti bila ia akan terjadi.

(Gambar ihsan: Siti Nur Rahimah Hamdan)

Cik Siti Nur Rahimah Hamdan sekeluarga pada Hari Raya 2019 (Gambar ihsan: Siti Nur Rahimah Hamdan)

RISAUKAN BAPA DI HOSPITAL

Seorang lagi yang berhadapan dengan ketidaktentuan adalah Cik Siti Nur Rahimah Hamdan, yang bekerja di industri perkhidmatan kebersihan di Singapura selama tiga tahun.

Warga Malaysia 32 tahun itu tidak pasti berapa lama kesihatan ayahnya yang sakit akan bertahan setelah beliau dimasukkan ke hospital pada 15 April kerana komplikasi pada buah pinggang dan kencing manis.

Beliau bertanya kepada majikannya jika beliau dapat pulang ke Johor Baru untuk menghabiskan Hari Raya bersama bapanya, tetapi diberitahu bahawa beliau akan memerlukan kelulusan dari Kementerian Tenaga Kerja di sini untuk kembali setelah perjalanannya.

"Ini adalah yang paling lama ayah saya dimasukkan ke hospital dan saya bimbang. Tetapi sekiranya saya pulang ke rumah, saya harus dikuarantin selama 14 hari dan tidak ada jaminan saya akan dibenarkan pulang ke Singapura," katanya.

"Saya hanya dapat berdoa agar beliau beransur pulih. Saya berdoa saya tidak akan menyesal,” kata Cik Siti. Beliau satu-satunya daripada enam adik-beradiknya yang bekerja di Singapura.

"Saya bertanya kepada ibu saya setiap hari jika saya patut pulang tetapi beliau takut saya akan kehilangan pekerjaan. Kami memerlukan wang."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Syawal: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan