Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 anak muda ini agih makanan, habuan bantu keluarga kurang mampu sambut Aidilfitri

Tiga individu ini kongsi usaha mereka dampingi golongan kurang bernasib baik sambut Lebaran di tengah-tengah COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
3 anak muda ini agih makanan, habuan bantu keluarga kurang mampu sambut Aidilfitri

(Gambar ihsan: Muhammad Wafiq Hadee Anuwar)

Diterbitkan : 24 May 2020 03:33PM Dikemas Kini : 24 May 2020 03:46PM

SINGAPURA: Setiap tahun, pada pagi Hari Raya Aidilfitri, pengurus acara Syed Harun Syed Kader akan mendirikan solat Aidilfitri di masjid.

Beliau kemudian akan pulang untuk bersarapan bersama keluarganya sebelum bersiap-siap untuk keluar menziarahi datuk neneknya.

Bagaimanapun, rutin tahunan pemuda berusia 25 tahun itu terkubur tahun ini dek krisis COVID-19, dengan pemerintah melarang kunjung-mengunjung dan masjid-masjid pula ditutup demi membendung penularan COVID-19.

Namun, Encik Syed enggan membiarkan pandemik itu melemahkan semangat dan harapan untuk membawa keceriaan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Pada pagi Hari Raya Aidilfitri tahun ini, yang jatuh pada Ahad (24 Mei), beliau dan empat rakannya mengunjungi sebuah dapur pusat untuk menyediakan lebih 400 bungkus nasi beriani.

Mereka akan meluangkan masa selebihnya untuk mengagih-agihkan makanan, bungkusan beras, buah-buahan dan kad Raya kepada lebih 70 keluarga kurang bernasib baik dan pekerja pembersihan di beberapa kawasan perumahan awam.

Mendapat inspirasi daripada usaha murni
serupa semasa pandemik COVID-19, Encik Syed pada mulanya berjinak-jinak dengan idea untuk memainkan peranannya dengan menyediakan makanan untuk 10 keluarga yang kurang bernasib baik di estetnya di Bukit Batok East.

Namun, beliau kemudian memutuskan untuk mengajak rakan-rakannya supaya beliau dapat membantu lebih ramai orang.

"Rakan-rakan saya segera turut serta dan kami memulakan gerakan #ProjectCovidRaya2020," kata Encik Syed. "Walaupun sebahagian besar daripada kita masih dapat meraikan hari raya, menikmati hidangan istimewa dan meluangkan masa dengan keluarga kita, kita mahu keluarga yang kurang bernasib baik ini turut berkongsi kegembiraan kita."

Encik Syed mula menerima sumbangan daripada rakan-rakan, ahli keluarga dan orang luar selepas beliau melancarkan derma kilat di Instagram minggu lalu. Beliau berjaya mengumpul lebih S$3,000 dalam masa seminggu.

"Sasaran utama inisiatif ini adalah untuk berganding baru pada bulan yang mulia ini untuk mengukir senyuman pada wajah mereka yang memerlukan," kata beliau.

TIDAK ADA ISTILAH TERLALU MUDA UNTUK MENYUMBANG SEMULA

Encik Syed bukan satu-satunya individu yang berharap dapat memberi semangat kepada golongan yang lebih mudah terjejas semasa kelembapan ekonomi ekoran wabak tersebut.

Pelajar pemasaran dari Politeknik Temasek, Muhammad Wafiq Hadee Anuwar, 19 tahun, meluangkan tengah hari Sabtu (23 Mei), sehari sebelum Hari Raya Puasa untuk mengagihkan 100 bungkus Nasi Beriani dan Nasi Ambeng kepada keluarga-keluarga dan warga emas yang tinggal di flat-flat satu bilik di Bedok.

Beliau melakukannya dengan ibu bapa serta kakak dan adik perempuannya, yang berusia 10 dan 22 tahun.

Menurut Encik Wafiq, video kanak-kanak kurang bernasib baik yang terkial-kial untuk mendapatkan makanan yang betul mendorongnya untuk mengumpul dana.

Minggu lalu, beliau memuatnaikkan video ke laman Instagram bagi menggesa mereka yang berminat supaya menyumbang kepada inisiatifnya itu.

Dia menerima S$6,019, 19 kali ganda jumlah yang menjadi sasarannya iaitu S$300. "Kerana saya sudah memesan hanya 100 bungkus makanan, baki wang selebihnya akan disumbangkan kepada masjid," kata Encik Wafiq.

"Saya menyedari selama ini saya selalu ingin menyumbang semula tetapi saya tidak menjangkakan ia dapat dicapai, kerana saya selalu ingatkan saya ini terlalu muda untuk melakukan perkara seperti itu," katanya.

Semasa keluarganya keluar mengagihkan bantuan pada Sabtu (23 Mei), Encik Wafiq berkata mereka akan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memeriksa suhu badan mereka sebelum mengunjungi rumah-rumah, memakai pelitup dan sarung tangan, serta mengurangkan kontak dengan para penerima bantuan seberapa mungkin.

MENYEMARAKKAN SEMANGAT HARI RAYA

Bagi sesetengah pihak, usaha menyumbang semula kepada masyarakat semasa Hari Raya Puasa merupakan urusan sepanjang tahun.

Namun, keadaan jauh berbeza tahun ini bagi Cik Siti Nurani Salim, 38 tahun, dengan pandemik COVID-19 menyekat interaksi antara para penerima bantuan dan penderma.

Tahun ini masuk tahun ketujuh beliau mengagihkan habuan Hari Raya kepada warga emas dan keluarga kurang mampu pada malam Raya sebagai pengasas pertubuhan bukan pemerintah Project Goodwill Aid.

Tahun ini, beliau berjaya mengumpul dana yang mencukupi untuk menyediakan 700 bungkus habuan, berisi satu set bento hidangan Hari Raya, kuih-muih dan sampul raya. Setiap pek bernilai S$40.

Cik Siti berkata bahawa sebahagian besar warga emas yang menerima bungkusan itu tinggal sebatang kara. "Kami biasanya meluangkan masa untuk berbual dengan mereka. Ini adalah saat-saat manis yang menggembirakan sedang kami menyingkap sambutan Hari Raya yang lalu,”kata beliau.

"Tetapi tahun ini, sebarang interaksi dengan penerima bantuan dan penderma akan dihadkan. Kita juga harus mematuhi langkah-langkah jarak selamat yang ketat dan menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain. "

Selain warga emas dan keluarga yang kurang bernasib baik, usaha tahun ini juga akan memanfaatkan 400 pekerja warga Malaysia yang terkandas di Singapura disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 yang dikuatkuasakan di negara mereka, yang dijangka berakhir pada 9 Jun.

Walaupun dengan sekatan jarak selamat, pengagihan tetap perlu diteruskan agar tidak mengecewakan penerima bantuan, kata Cik Siti.

"Lebih penting lagi bagi kita untuk terus berusaha meyakinkan keluarga dan pekerja ini bahawa meskipun dengan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19, mereka tidak dilupakan dan mereka masih dapat menyambut Hari Raya."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Syawal: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan