Skip to main content

Iklan

Iklan

2 pelajar politeknik ini kongsi pengalaman selesaikan projek tahun akhir semasa 'circuit breaker'

Para pelajar tahun akhir politeknik berdepan dengan situasi yang mencabar dan menyulitkan untuk menyelesaikan projek tahun akhir di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
2 pelajar politeknik ini kongsi pengalaman selesaikan projek tahun akhir semasa 'circuit breaker'

Pelajar Politeknik Republik Muhamad Azhim Gani (kiri) dan pelajar Politeknik Temasek, Muhammad Ryan Azryan.

SINGAPURA: Para pelajar tahun akhir politeknik berdepan dengan situasi yang mencabar dan menyulitkan untuk menyelesaikan projek tahun akhir di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Dengan sekolah-sekolah termasuk kelima-lima politeknik tempatan menutup pintu masing-masing dan sebaliknya beralih ke pembelajaran di rumah (HBL) pada 8 April, ramai pelajar tahun akhir politeknik mendapati bahawa ia lebih mencabar untuk meneruskan projek itu tanpa mempunyai akses kepada peranti yang diperlukan dan juga untuk bertemu dengan rakan-rakan sepasukan bagi membincangkan projek tersebut.

Ramai pelajar tahun akhir menanti-nantikan peluang untuk kembali ke sekolah sedang Singapura beralih ke Fasa Pertama. Walau bagaimanapun, adakah mereka bersedia untuk kembali ke sekolah selepas lebih dua bulan belajar di rumah?

TEMPOH YANG SANGAT MENCABAR

Pelajar Diploma dalam Kejuruteraan Aeroangkasa di Politeknik Temasek, Muhammad Ryan Azryn.

Antara pelajar tahun akhir yang berdepan dengan kesulitan serupa ialah Muhammad Ryan Azryn, pelajar jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa di Politeknik Temasek, yang sepatutnya memulakan latihan amali untuk projek tahun akhirnya iaitu mencipta sebuah bicu hidraulik pada awal bulan April lalu. Menurutnya, projek selama 6 bulan itu sepatutnya berakhir pada 3 Ogos.

Disebabkan oleh penguatkuasaan 'circuit breaker' iatu tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, dia terpaksa menangguhkan segala aktiviti amali sehingga makmal di kampus dibuka semula pada Selasa (2 Jun).

Dalam pada itu, Azryn juga dilatih secara teori dengan maklumat penting dikumpulkan dalam sebuah fail OneDrive supaya dia dapat meningkatkan pengetahuannya sebanyak mungkin dan menggunakannya dengan cekap bagi projek tersebut.

Setelah dua bulan menjalankan projeknya yang amat bergantung kepada penggunaan mesin dan kelengkapan yang biasanya tidak akan ditemui di rumah, timbul pula kebimbangan yang menjejas pelajar berusia 20 tahun ini.

"Saya risau jika saya tidak dapat menjalani latihan amali dan menghabiskan projek tahun akhir saya. Dapatkah saya lulus dengan lebih baik?" tanya Azryn.

Namun, di tengah-tengah masa yang sukar ini, Azryn turut mendedahkan bahawa pensyarahnya sering berusaha untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukannya, melalui kumpulan sembang WhatsApp atau semasa perbincangan maya diadakan. Dengan bimbingan pensyarahnya, beliau dapat menghela nafas lega.

PEMBUKAAN SEMULA KAMPUS DI TENGAH-TENGAH SAMBUTAN RAYA

Sedang rakan-rakan sebaya sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan saudara-mara melalui wadah persidangan video Zoom, adakah ia akan menyukarkan para pelajar tahun akhir seperti Azryn untuk menumpukan perhatian kepada tugasan masing-masing?

"Sebenarnya, saya tidak menumpukan perhatian saya sepenuhnya kepada sambutan Hari Raya walaupun pada minggu pertamanya.

"Kini, saya hanya menantikan hari di mana saya dapat melaksanakan projek tahun akhir saya di kampus. Saya amat ghairah untuk menyambung projek saya bersama kumpulan saya secara bersemuka," terang Azryn.

Walaupun ramai pelajar dibenarkan untuk kembali ke kampus, terdapat juga kebimbangan berhubung kesihatan dan keselamatan para pelajar yang akan berkumpul di kampus.

Menurut Azryn, politekniknya memastikan semua pelajar akan dapat menghadiri kuliah secara berselang-seli dan diasingkan melalui dua waktu yang dihadkan iaitu dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang dan kemudian dari 4.00 petang hingga 10.00 malam. Para pelajar juga dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi TraceTogether dan SafeEntry untuk mendaftar keluar masuk kampus. Pemeriksaan suhu badan juga dilakukan sebelum mereka memasuki kampus dan makmal-makmal.

Selain itu, setiap kelas akan diberikan ruang serta meja peribadi yang diletakkan dengan nama pelajar. Ia juga digunakan sebagai tempat makan para pelajar pada waktu petang atau malam.

Dengan langkah-langkah berkenaan, para pelajar boleh mengurangkan kontak sebanyak mungkin.

TUGASAN YANG TIDAK PERNAH DIAJAR

Pelajar Diploma dalam Penerbitan Media dan Reka Bentuk di Politeknik Republic, Muhammad Azhim Gani.

Seorang lagi pelajar tahun akhir yang bergelut dengan projeknya ialah Muhammad Azhim Muhammad Gani daripada jurusan Penerbitan Media dan Reka Bentuk Politeknik Republik, yang ditugaskan untuk mencipta sebuah rakaman video.

Bagaimanapun dia tidak berupaya melakukan penggambaran filem tanpa kelengkapan dan bakat-bakat yang diperlukan disebabkan oleh COVID-19. Dia hanya boleh berbuat demikian pada pertengahan Jun seperti yang dijadualkan oleh pihak politeknik.

"Saya bimbang jika saya tidak dapat memaparkan bakat-bakat saya dengan potensi mereka yang sebenar," ujar Azhim.

Lantaran itu, Azhim dan kumpulannya bercadang untuk menyelitkan sesuatu yang belum pernah dipelajari di kampus, iaitu animasi. Dengan cara itu, dia dapat meneruskan projeknya di rumah.

Azhim akur terdapat cabaran apabila kumpulannya mengadakan perbincangan mingguan mereka secara maya.

"Kerana kita tidak dapat berbincang secara bersemuka, perbincangan kami sering menjadi tidak jelas atau teratur yang menyebabkan perbincangan kami menjadi tidak berkesan," jelas Azhim.

Sungguhpun demikian, projeknya dapat berjalan dengan lancar melalui bimbingan penasihatnya yang sering memantau kemajuan para pelajar.

Ini juga dapat memastikan para pelajar berada di landasan yang betul untuk menamatkan projek masing-masing. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan