Syawal 2021

Images

Warga S'pura sambut Hari Raya berbeza di New Zealand - tanpa pelitup, tanpa jarak selamat

BERITAmediacorp: Sedang negara seperti Singapura, Malaysia dan negara di Timur Tengah menyambut Hari Raya di bawah peraturan COVID-19 cukup ketat, sebahagian umat Muslim lain dapat menyambut Lebaran dalam suasana cukup normal - contohnya Muslim di New Zealand.

Masyarakat Islam di sana mula menyambut Hari Raya pada Jumaat (14 Mei).

Di University Otago yang terletak di bandar Dunedin, New Zealand misalnya seramai 100 mahasiswa Muslimnya menyambut 1 Syawal dengan jamuan makan beramai-ramai.


(Petikan video ihsan: Syibri Syafiq)

Mereka beruntung, pemakaian pelitup atau penjagaan jarak sosial tidak diwajibkan kerana jumlah kes COVID-19 di New Zealand cukup terkawal.

Menurut lelaman Kementerian Kesihatan New Zealand, kali terakhir negara itu menyaksikan kes jangkitan dalam masyarakat adalah pada 28 Februari 2021.

2 TAHUN TIDAK BERAYA BERSAMA KELUARGA

Antara mahasiswa warga Singapura yang menuntut di universiti itu ialah Syibri Syafiq Mohd Fahmi, yang sedang mengambil Sarjana dalam bidang Perubatan dan Pembedahan.

Pemuda berusia 23 tahun itu melanjutkan pelajarannya di sana sejak empat tahun lalu dan dijangka tamat pengajian pada 2023.


Syibri bersama pasukan Urologi dari Hospital Dunedin (Gambar ihsan: Syibri Syafiq)

Buat masa ini, Syibri juga sedang menjalani latihan amali di Hospital Dunedin.

Lebaran tahun ini sebenarnya kali kedua anak Anggota Parlimen Fahmi Aliman itu tidak dapat menyambut Hari Raya bersama keluarganya di Singapura. Kali terakhir dia pulang ke Singapura adalah Disember 2019 - beberapa bulan sahaja sebelum pandemik.


(Gambar ihsan: Fahmi Aliman)

"Walaupun kami sedang menghadapi pandemik COVID-19, kita di New Zealand bersyukur dapat menyambut Hari Raya tanpa memakai pelitup atau menjaga jarak sosial. Alhamdulillah semasa Ramadan kita juga dapat berbuka puasa bersama-sama dan solat tarawih di masjid," kata Syibri, anak sulung empat adik beradik.

LEBARAN LEBIH 'SENYAP' DI QATAR

Lain pula keadaannya di bandar seperti Doha.

Antara warga Singapura yang bekerja di ibu kota Qatar ini ialah Encik Muhd Musa Anshari Jamal, 39 tahun seorang Pengurus Makanan dan Minuman (F&B) di Hotel Hyatt Regency Oryx. Beliau berhijrah ke sana sejak sedekad lalu.


(Gambar ihsan: Musa Anshari)

Hari Raya di Doha jatuh pada Khamis (13 Mei), hanya beliau hanya dapat menyambutnya dengan serba sederhana - malah serba sunyi.

Ini kerana Doha masih mengamalkan langkah sekatan perjalanan di seluruh negara dari 9 April hingga 28 Mei ini.

Yang jelas, Lebaran di sana jauh beza dari segi suasana dan budaya berbanding di Singapura.

"Ia tak semeriah sebab macam keluarga besar kan semua akan berkumpul di satu rumah yang besar dan itu sahaja. Boleh dikatakan, orang-orang di Qatar lebih privet. Sekarang sudah pandemik lagi senyap tak meriah sangat," cerita Encik Musa.

Beliau turut berkongsi antara denda lebih berat yang dilaksanakan di Qatar.

"Semua orang kena pakai pelitup muka. Kadang-kadang ada pegawai yang meminta butiran pengenalan dan sekiranya anda tidak memakai atau tidak memakai pelitup muka dengan betul, anda akan didenda. Dan jumlahnya antara 2,000 (S$732) dan 3,000 (S$1,098) Riyal Qatari," jelas Encik Musa.

Sambutan Hari Raya keluarga Encik Musa di Singapura, sebelum pandemik COVID-19 (Gambar ihsan: Musa Anshari)

Bagi Encik Musa, yang kali terakhir pulang ke Singapura pada Julai 2018, hanya panggilan video sahaja menjadi pengubat rindunya kepada keluarganya di sini. Antara insan-insan yang dirindui anak keempat daripada lima beradik lelaki ini ialah kedua-dua orang tuanya.

"Mak dan bapa saya, saya rindu mereka. Sekarang emosi sedikit ini. Ahli-ahli keluarga yang lain, abang dan adik saya, kawan-kawan semua. Kita masih berkomunikasi, WhatsApp, media sosial media ini semua tapi tak seperti benda yang sebenarnya di mana kita boleh bersentuhan, merasakan, dan melihat mereka.

"Dapat peluk, dapat cium mak dan bapa saya, itu yang paling penting untuk saya sekarang," kata Encik Musa sambil menahan sebak. Beliau merupakan anak kepada sasterawan Djamal Tukimin.

MERINDUI DAKAPAN AYAH DAN IBU

Sebenarnya, Encik Musa juga merancang untuk pulang semasa Ramadan dan menyambut Hari Raya di Singapura, namun terjejas dek sekatan perjalanan.

Niatnya untuk memperkenalkan isterinya yang berasal dari Belarus kepada keluarga juga belum kesampaian.

"Saya berkahwin dua tahun lalu. Mak dan bapa saya belum jumpa isteri saya. Setakat bertemu di panggilan video sahaja," luah Encik Musa, yang akan menyambut ulangtahun pernikahannya Ogos ini.

Encik Musa bersama isteri, CIk Darya Talkanitsa dan kucing-kucing mereka Simeon (kiri) dan Mima (kanan) (Gambar ihsan: Musa Anshari)

Walaupun tidak dapat beraya disamping keluarga tercinta di Singapura, 'Raya Tetap Raya'.

Encik Musa masih menyambutnya bersama isteri beliau, Cik Darya Talkanitsa dan dua ekor kucing kesayangannya bernama Simeon dan Mima.

LAPORAN BERKAITAN:


- BERITAmediacorp/tq

Top